USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JELAJAH KASIH ASNAF: PELAJAR USM TERKESAN ANTARA PENERIMA BANTUAN ZAKAT

KULIM, KEDAH, 19 November 2020 – Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Sektor Zakat, Kecemerlangan Perkhidmatan dan Korporat baru-baru ini telah mengadakan program Jelajah Kasih Asnaf Pelajar USM di sekitar Kulim, Kedah yang didapati terkesan dengan pandemik Covid-19 bagi menyalurkan bantuan sumbangan zakat.

Program bersifat turun padang tersebut turut disertai Pengarah Pusat Islam, Tuan Haji Ustaz Mohammad Shukri Osman bertujuan menyelami kelangsungan hidup asnaf pelajar-pelajar, di samping melihat sendiri keperluan lain yang layak disantuni oleh Pusat Islam pada masa akan datang.

WhatsApp_Image_2020-11-23_at_01.28.34.jpeg

Ketika ditemui Ustaz Shukri berkata, Pusat Islam melaksanakan tindakan proaktif bagi mengenalpasti dari semasa ke semasa pelajar-pelajar USM yang kini berhadapan masalah kewangan dan bebanan hidup selama terkesan dengan pandemik yang melanda negara.

“Sumbangan zakat ini selain berbentuk kewangan juga dalam bentuk Kit Maidah Rahman yang mengandungi pelbagai barangan keperluan asas harian bernilai RM55.00 bagi setiap kit untuk disumbangkan kepada pelajar-pelajar terbabit, dan Pusat Islam turut mengemaskini maklumat keluarga dan tanggungan hasil daripada ziarah tersebut untuk melaksanakan tindakan susulan,” katanya selepas menyampaikan bantuan Kit Maidah Rahman kepada keluarga pelajar terbabit.

Tambah beliau, dengan kehadiran warga Pusat Islam USM turun melihat sendiri keadaan mereka, ia cukup memberi kesan positif buat ahli keluarga pelajar tersebut dan apa yang pasti tindakan ini seiring menepati misi dan visi USM iaitu memastikan golongan terkebawah sentiasa mendapat perhatian sewajarnya.

Sementara itu, pelajar dari Pusat Pengajian Pengurusan USM, Wan Nor Shafinaz Wan Shafie, 22 tahun, yang menetap di Lunas, Kulim, Kedah antara penerima bantuan zakat Jelajah Kasih Asnaf ini berkata, beliau amat terharu dan berterima kasih kepada pihak USM yang mengambil berat dan menyalurkan sumbangan kepada beliau dan keluarga yang terkesan sejak berlakunya pandemik Covid-19 ini.

“Tiada apa yang mampu saya gambarkan melainkan kegembiraan dan kesyukuran kepada Allah S.W.T. dan pihak USM kerana dalam keadaan begini, Pusat Islam USM sudi datang membantu saya dan keluarga bagi menyalurkan sumbangan keperluan, dan ini amat membantu mengurangkan beban keluarga saya untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Nor Shafinaz, anak bongsu dari 3 adik-beradik ini merupakan satu-satunya anak yang berjaya menjejakkan kaki ke menara ilmu merupakan harapan ibu bapanya untuk membantu meningkatkan taraf hidup mereka sekeluarga kelak.

“Masalah ini timbul dan lebih rumit apabila sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Mac yang lalu, bapa saya hilang pekerjaan, manakala ibu saya hanya bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak dengan pendapatan hanya RM500.00 sebulan dan abang sebagai operator di sebuah kilang dan sentiasa membantu setakat yang termampu untuk keluarga,” kata Nor Shafinaz lagi.

1_1.jpg

Nor Shafinaz yang kini pelajar tahun akhir di dalam jurusan Perakaunan turut melakukan kerja sambilan termasuk pada cuti semester untuk membayar yuran pengajian, membuat sedikit simpanan bagi menampung kos pengajian beliau tanpa mahu mengganggu ibu dan bapanya kerana sedia maklum jurusan ini memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi untuk pembelian buku.

Sudahkah anda membayar zakat? Jika belum, jom sama-sama kita menunaikan zakat melalui potongan gaji bulanan USM.  

Pusat Islam USM melalui Sektor Zakat, Kecemerlangan Perkhidmatan dan Korporat juga menawarkan khidmat kaunter pembayaran zakat seperti butiran berikut:

Tarikh: Isnin hingga Jumaat (Hari Bekerja); Masa: 9:00 pagi – 4:00 petang.

Tempat:

1) KAMPUS INDUK:- Pusat Islam USM - Pejabat Zakat, Kecemerlangan Perkhidmatan & Korporat USM, Tel : 04-6535057 / 3910.

2) KAMPUS KEJURUTERAAN:- Pejabat Pentadbiran Pusat Islam USM Kampus Kejuruteraan, Tel : 04-5995481 / 5482.

3) KAMPUS KESIHATAN: Pejabat Pentadbiran Pusat Islam Kampus Kesihatan, Tel : 09-7671061 / 1067.

Tidaklah akan berkurang harta yang kita sedekahkan dengan ikhlas kerana Allah, melainkan Allah akan menggantinya dengan berlipat ganda.  

Teks: Ustaz Mohd Fakrur Amirul Mohamad Rodzi & Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Ihsan Pusat Islam USM

  • Created on .
  • Hits: 1030

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024