USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERTANDINGAN PIDATO SIARAN LANGSUNG CUNGKIL BAKAT BELIA

PULAU PINANG, 16 November 2020 - Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini berganding bahu dengan Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Big Domain dan MODEN Academy menganjurkan Pertandingan Bintang Siaran Langsung 2020 peringkat Negeri Pulau Pinang (Penang Live Streaming Star Championship 2020).

thumbnail_image3.jpg

Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan USM, Profesor Madya Dr. Daisy Kee Mui Hung, ketika ditemui berkata, pertandingan yang julung kali diadakan secara siaran langsung tersebut bertujuan mencungkil bakat golongan belia dalam bidang pidato sekaligus menonjolkan keupayaan mereka dalam era digital ini.

“Pertandingan ini juga mampu meningkat kemahiran berkomunikasi dalam kalangan belia yakni satu kemahiran insaniah (soft skills) yang amat penting dalam dunia pekerjaan hari ini, serta membina keyakinan diri mereka untuk menyuarakan pandangan secara teratur, rasional dan bersandarkan pada fakta,” jelasnya.  

Sementara itu, Exco Belia Dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Soon Lip Chee ketika merasmikan pelancaran pertandingan itu di sini pada 5 November lalu berkata, pertandingan ini juga mampu mengasah pemikiran kritis dan meningkatkan kesedaran golongan belia mengenai dunia digitalisasi.

Katanya, penganjuran pertandingan ini sejajar dengan hala tuju Kerajaan Negeri untuk melahirkan lebih banyak bakat digital muda Pulau Pinang, menjadikan Pulau Pinang sebagai hab bakat digital ke arah perdagangan dalam talian dan digital dengan penawaran pelbagai peluang pekerjaan.

“Dalam menghadapi cabaran revolusi teknologi seperti Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), perkembangan Kecerdasan Buatan (AI) dan letusan data, golongan belia perlu bersiap sedia menghadapi perubahan seiring dengan peredaran masa.

"Justeru, golongan belia perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan menjadi bakat digital muda yang berkeyakinan dalam mengharungi cabaran di alaf baru ini,” katanya.

Menurutnya lagi, golongan belia bukan sahaja merupakan aset dan khazanah negara tidak ternilai tetapi juga merupakan bintang yang akan menyinar pada masa hadapan.

"Melalui program ini, kerajaan negeri dapat menumpukan kepada penyerlahan potensi belia sebagai salah satu usaha memastikan kesejahteraan serta kualiti hidup belia terus meningkat," tambah Soon.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam merangkap Ahli Lembaga Pengarah PYDC, Joseph Ng Soon Siang; Ahli Lembaga Pengarah PYDC, Bharathi Suppiah; dan Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sai Ling.

thumbnail_image1.jpg

 

Berikut ialah maklumat lanjut tentang pertandingan tersebut:

  1. Terbuka kepada peserta berusia antara 15 hingga 30 tahun yang lahir, bermastautin, bekerja atau pun belajar di negeri ini.
  2. Bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa perantara bagi seluruh pertandingan.  
  3. Hadiah yang menanti peserta adalah wang tunai bernilai RM2,000 (Johan), RM1,500 (Naib Johan), RM1,000 (ketiga), RM800 (keempat) dan RM500 (kelima).
  4. Dijalankan mengikut format dua pusingan:-  Pusingan pertama (7 November hingga 4 Disember 2020); peserta perlu menghantar rakaman video pidato selama satu minit atas tajuk yang disediakan ke media sosial Youtube atau Facebook; mensasarkan penyertaan 400 pesertaPusingan akhir (20 Disember 2020); 30 finalis disenarai pendek ke pusingan ini yang mana setiap peserta perlu menyampaikan pidato selama 5 minit secara siaran langsung berdasarkan tajuk yang ditentukan oleh jawatankuasa pertandingan.
  5. Peserta akan dinilai dari segi pengutaraan idea (kematangan berfikir), pembentangan yang lancar, kesesuaian nada, keyakinan diri, gaya persembahan yang menarik dan susunan isi yang tertib.
  6. Pendaftaran adalah percuma.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web PYDC pada www.pydc.com.my atau media sosial Facebook PYDC di https://www.facebook.com/pydc.my.

Teks: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop (pelajar internship MPRC)/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: PYDC 

  • Created on .
  • Hits: 1346

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024