USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KHAMBESWARAN HARUMKAN NAMA NEGARA, NEGERI DAN USM DALAM SUKAN MEMANAH

PULAU PINANG, 11 November 2020 - Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Khambeswaran a/l Mohanaraja, pelajar tahun pertama Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), kerana berjaya mengharumkan nama Malaysia, Pulau Pinang dan USM dalam kejohanan Malaysia Archery COVID-19 Remote Scoring Challenge 2020 bagi acara Men’s Compound kategori jarak 50 meter.

WhatsApp_Image_2020-11-09_at_05.57.27.jpeg

Beliau berjaya menduduki tempat ketiga keseluruhan daripada 93 orang atlet bertanding yang terdiri daripada atlet individu, atlet kelab dan atlet persatuan memanah daripada seluruh Malaysia dan Indonesia.

Selaku pemenang tempat ketiga, Khambeswaran telah dianugerahkan Sijil Kemenangan oleh Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (National Archery Association of Malaysia, NAAM) selaku penganjur kejohanan yang julung kali diadakan ini.

Kejohanan yang berlangsung pada 7 November 2020 itu dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Memanah Negeri Pulau Pinang yang bertindak sebagai pemantau dan pengesah keputusan bagi memastikan ketelusan setiap atlet yang mengambil bahagian.

Khambeswaran, 21,anak watan Pulau Pinang yang berasal dari Mount Erskine, Kebun Bunga, merupakan antara 36 pelajar atlet Program Warga Sukan USM yang dikenal pasti untuk mengikuti pengajian di USM bagi kemasukan Sidang Akademik 2020/2021.

Atlet berbakat besar ini merupakan ahli kepada pasukan compound lelaki negara yang mempamerkan aksi cemerlang dan memenangi pingat emas bagi skuad memanah negara dalam temasya Sukan Asia Tenggara ke-30 yang dihoskan oleh Filipina pada tahun 2019.

Pihak Universiti mengharapkan Khambeswaran akan menjadi seorang lagi graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang sukan pada peringkat antarabangsa, tetapi turut berjaya dalam bidang akademik sejajar dengan aspirasi universiti melahirkan graduan yang memiliki atribut HEBAT (Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate, Thinking).     

Teks: Tan Ewe Hoe/Infografik: Ebrahim Abdul Manan 

  • Created on .
  • Hits: 1387

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024