USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NUR RAHUL HRISIKESA TERSENARAI DALAM SKUAD MALAYSIAN TIGERS

PULAU PINANG, 10 November 2020 - Pelajar tahun tiga Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia (USM), Nur Rahul Hrisikesa Mohd Murni Thatchana, berjaya menempatkan diri dalam senarai 30 pemain skuad hoki lelaki senior kebangsaan (lebih dikenali sebagai Malaysian Tigers) menerusi sesi pemilihan akhir baru-baru ini. 

WhatsApp_Image_2020-11-15_at_23.52.27.jpeg

Beliau merupakan antara empat muka baharu yang berjaya menawan hati barisan kejurulatihan skuad hoki kebangsaan yang diketuai oleh ketua jurulatih, Arul Selvaraj, untuk disenarai dalam skuad Malaysian Tigers setelah beraksi dengan cemerlang dalam saingan Piala Tun Abdul Razak yang berlangsung dari 18 hingga 26 September lalu.

Menurut laporan dalam sebuah akhbar tempatan, pemilihan Nur Rahul Hrisikesa yang bermain di posisi penyerang, bersama kesemua pemain lain, dibuat berdasarkan kriteria seperti kemampuan bermain, kecergasan dan sikap kebertanggungjawaban dalam pasukan.

WhatsApp_Image_2020-11-15_at_23.54.07.jpeg

Menyarung jersi pasukan hoki kebangsaan adalah satu pencapaian yang amat membanggakan buat diri beliau, dan pastinya suatu pengalaman baharu menjalani latihan dalam skuad kebangsaan bersama pemain-pemain senior lain yang jauh lebih berpengalaman.  

Beliau menyambung pengajian di USM menerusi kemasukan khas Program Warga Sukan Sidang Akademik 2018/2019, iaitu saluran pengambilan khas yang diwujudkan oleh USM untuk memberi peluang kepada pelajar atlet yang mewakili negeri atau negara untuk mengikuti program pangajian di kampus.  

Sementara itu, Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Tuan Haji Idrus Haji Rapie bagi pihak Universiti, merakamkan selamat maju jaya kepada Nur Rahul Hrisikesa dan semoga beliau berjaya menjadi salah seorang penggempur utama skuad Malaysian Tigers.

“Selain itu saya mendoakan beliau akan terus cemerlang dalam bidang sukan hoki di peringkat antarabangsa dan juga bidang pelajarannya, sekaligus menjadi seorang graduan holistik yang mampu merealisasikan agenda dan wawasan nasional,” kata Idrus.  

Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Ihsan dari Pusat Sukan dan Rekreasi USM.

  • Created on .
  • Hits: 973

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024