USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MAHASISWA PERLU KOMITED TEROKA PELUANG KERJAYA

usmekpen1

PULAU PINANG, 26 Apr.2013 – Penganjuran Ekspo Kerjaya dan Pendidikan (EKSPEN) 2013 kali ke-12 diharap dapat memberi lebih banyak ruang kepada mahasiswa dan lepasan universiti meneroka peluang-peluang kerjaya yang ditawarkan pihak majikan.

Demikian harapan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi di Kementerian Pengajian Tinggi, Profesor Dr. Morshidi Sirat ketika merasmikan EKSPEN 2013 anjuran Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

usmekpen2

Katanya, program tersebut dianjurkan dengan tujuan memberi peluang kepada mahasiswa dalam merancang dan membuat pilihan kerjaya yang sesuai dengan minat, pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki.

``Tugas untuk meningkatkan kebolehpasaran siswazah bukan terletak kepada universiti semata-mata tetapi juga terletak kepada sinergi di antara mahasiswa dan juga bakal majikan itu sendiri,’’ ujarnya.

Mengulas mengenai pelancaran Student Profile pula, beliau berkata: “Langkah USM contohnya dalam memperkenalkan Student Profile yang membolehkan pihak universiti menyimpan maklumat seperti bakat, kebolehan,kemampuan dan kecenderungan para pelajar di dalam satu sistem harus dipuji.

``Ini kerana pelbagai jenis aktiviti masa hadapan dapat dijalankan dengan lebih komprehensif dan berkesan berdasarkan maklumat dan informasi yang sedia ada ini.’’

usmekpen3

Dalam pada itu, Pengarah Ekspo Kerjaya dan Pendidikan (EKSPEN 2013) Yuhaizat Amier Zailani pula menyarankan para pelajar untuk merebut peluang yang sedia ada ini dengan mencari seberapa banyak faedah dan maklumat yang telah disediakan di program ini.

EKSPEN 2013 menyediakan lebih dari 3000 peluang pekerjaan dan peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dengan penglibatan 80 buah syarikat-syarikat awam, swasta, GLC, IPTA serta IPTS kepada para pengunjung dan mahasiwa khususnya mereka yang sedang berada dalam tahun akhir pengajian.

Turut hadir dalam perasmian program ini ialah Pemangku Naib Canselor, Prof. Adnan Hussein dan Pendaftar USM, Puan Siti Zubaidah Abdul Hamid. Teks: Siti Faizah Abd. Halim

  • Created on .
  • Hits: 1621

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024