USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEJAYAAN BERGANDA IPPT DALAM KIK USM 2020

IPPT BERTAM, 11 November 2020 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) telah memperoleh kejayaan berganda apabila dua kumpulan yang menyertai Konvesyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) USM 2020 meraih Naib Johan dalam kategori masing-masing.

WhatsApp_Image_2020-11-10_at_10.28.14.jpg

Pada konvensyen kali ini, IPPT menghantar dua kumpulan untuk mempersembahkan idea inovasi dan kreativiti mereka, iaitu Kumpulan FAST bagi Kategori Teknikal manakala penyertaan sulung Kumpulan DITO bagi Kategori Pengurusan.

Menurut ketua kumpulan DITO, Dr. Ramzalinda Abd Rahman, mereka tidak menyangka penyertaan sulung ini memberi kejayaan dengan penarafan emas kepada kumpulan mereka yang masih baru dalam penyertaan KIK dan tidak pernah menyertai apa-apa pertandingan lain sebelum ini.

“Pada awalnya, terdapat pelbagai cabaran dan halangan dalam menjayakan projek kami kerana kekangan masa dengan kerja hakiki. Kami hampir sahaja patah semangat dan berasa mahu menarik diri daripada menyertai Konvensyen KIK pada tahun ini,” katanya.

WhatsApp_Image_2020-11-10_at_10.23.421.jpg

“Namun, atas dorongan fasilitator kumpulan kami, kami bangkit dan meneruskan perjuangan. Alhamdulillah, kami berjaya mendapat pengiktirafan emas pada hari ini yang sangat memberikan kepuasan kepada kami,” tambahnya lagi.

Kumpulan DITO melaksanakan projek sistem buku temujanji bagi pesakit yang memerlukan rawatan gigi palsu yang lebih sistematik, kemas dan mudah untuk diurus.

Bagi kumpulan FAST pula, mereka mempertaruhkan projek C-Savior sebagai projek inovasi mereka. C-Savior adalah satu inovasi yang direka khas untuk menyejukkan kulit kepala pesakit yang menjalani rawatan kemoterapi untuk merendahkan suhu di kawasan kepala.

Ia menggunakan gel yang telah disejukkan bagi mengekalkan suhu 12-20 darjah celcius di dalam topi selama 3 jam, dan dibuat daripada bahan terpakai seperti ais subtitude, bahan buangan ‘coldchain’ makmal dan kain payung terpakai.

Pesakit disarankan untuk memakai C-Savior selama 30 minit sebelum, semasa dan selepas rawatan kemoterapi dijalankan. Keadaan ini akan mengurangkan aliran darah ke folikel rambut yang boleh menghalang atau meminimumkan keguguran rambut berlaku semasa rawatan kemoterapi.

Untuk rekod, Kumpulan FAST pernah memenangi Anugerah Emas 5 Bintang dalam Annual Productivity and Innovation Conference and Exposition (APIC) 2019 yang diadakan di Sunway Pyramid Convention Centre pada tahun lalu.

Menerusi produk inovasi C-Savior ini, mereka juga tersenarai dalam 20 Kumpulan Terbaik Sektor Awam Persekutuan.

Berikut adalah keputusan penuh bagi penyertaan Kumpulan KIK IPPT:

Kumpulan FAST - Penarafan Emas/Persembahan Terbaik/Naib Johan Kategori Teknikal

Kumpulan DITO - Penarafan Emas/Naib Johan Kategori Pengurusan

Konvensyen ini diadakan secara dalam talian bersama USM Kampus Induk Pulau Pinang, USM Kampus Kesihatan Kubang Kerian, USM Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal, IPPT dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sebagai juri.

Pendaftar USM, Dr. Musa Ali turut menyampaikan ucapan aluan secara dalam talian kepada semua peserta dalam konvensyen anjuran Pusat Transformasi Insan (PTI) USM ini.

Teks: Mohd Faisal Jamaludin 

  • Created on .
  • Hits: 982

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024