USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENGANTARABANGSAAN: PEKA DENGAN PERUBAHAN

usmkorea

SEOUL, KOREA, 26 April - Pendidikan pada masa hadapan dalam negara-negara ASEAN akan banyak dipengaruhi oleh faktor pengantarabangsaan yang memerlukan  pelajar dan pensyarah  lebih peka kepada perubahan senario di luar negara.

Menurut Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman,  usaha pengantarabangsaan ini boleh direalisasikan melalui program-program yang bersistematik pengantarabangsaan dalam aspek pertukaran pelajar, pensyarah berjangka pendek dan panjang dalam pelbagai perkara, daripada hubungan akademik, penyelidikan, kebudayaan,  sukan dan perpindahan ilmu sehinggalah kepada jalinan rangkaian.

“Hasilnya nanti ialah pendedahan komuniti universiti kepada perkara-perkara yang dilakukan di luar negara, manakala para pelajar dan pensyarah daripada luar negara pula boleh datang ke universiti di Malaysia untuk tujuan yang sama,” kata Omar. 

Omar menyampaikan Ucap Utamanya yang bertajuk "Current Landscape of Higher Education in the ASEAN Region: Case of Malaysia and USM" dalam 19th ASEAN Forum  yang dianjurkan oleh  Korean Institute of Southeast Asian Studies (KISEAS) dengan kerjasama Ministry of Foreign Affairs, Republic Korea Selatan dan Sekretariat ASEAN yang disertai oleh wakil daripada pelbagai agensi dan universiti di sini.

Forum ini bertemakan “Higher Education in Southeast Asia: Current Situation.”

Omar juga menekankan tentang perlunya komuniti akademik ASEAN bersatu untuk bersama-sama menjayakan hasrat mewujudkan komuniti ASEAN yang utuh seperti mana yang dinyatakan melalui pelbagai perancangan yang tertera dalam dokumen-dokumen rasmi sejak ASEAN ditubuhkan 45 tahun lalu.

Tambahnya lagi,hal ini penting terutamanya apabila usaha merealisasikan komuniti ASEAN dan hala tuju pengajian tinggi yang telah banyak kali disuarakan dalam pelbagai persidangan.

Turut sama dalam forum ini ialah Rektor Universitas Gadjah Mada, Profesor  Pratikno yang turut membentangkan kertas kerjanya di samping  tiga orang profesor daripada Conbuk National Universiti, Asian Institute for Policy Studies dan Hankuk University of Foreign Studies yang membincangkan kedua-dua kertas kerja ini.

“USM juga telah mengambil pelbagai langkah dalam dasar pengantarabangsaannya sama ada sebagai sebuah Universiti Penyelidikan mahu pun APEX, mewujudkan program “Global Citizens” melalui pengenalan skim zamalah, mengukuhkan hubungan dengan pelbagai pihak dan negara termasuk melalui kaedah “the Blue-Ocean Strategy”, malah juga memperkasakan keupayaan untuk bersaing dengan meningkatkan kualiti dan kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran dan usaha memposisikan universiti melalui pelbagai usaha meningkatkan kedudukannya secara global agar lebih tampak kelihatan dalam kalangan komuniti ASEAN dan dunia,” jelas Omar.

Menurutnya lagi, yang penting ialah USM dan Malaysia serius dalam menjayakan usaha pengantarabangsaan tanpa mengenepikan aspirasi dan agenda nasional, malah memperkukuhkan kedudukan dan kemampuan pelajar menguasai budaya antarabangsa, bukan sahaja dalam kalangan ASEAN malah dunia seluruhnya.

“Apatah lagi adalah menjadi hasrat Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia yang mahu menjadikan negara ini sebagai  hub pendidikan peringkat antarbangsa dengan sasaran lebih daripada 100,000 orang pelajar luar negara belajar di Malaysia.

Ketika sesi soal jawab Naib Canselor USM itu juga ditanyakan tentang  program Kampus Sejahtera USM yang juga dikenali di Korea dalam kalangan beberapa ahli akademik.

Turut hadir ialah Profesor Park Sa-Myung Pengerusi KISEAS dan Prof Hong Seok-Joon, Ketua Pengarah KISEAS.

  • Created on .
  • Hits: 2238

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024