USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MINGGU GALA BAHASA PPBLT MERAIKAN KEPELBAGAIAN BAHASA DAN BUDAYA ANTARABANGSA

usmkia

PULAU PINANG, 25 April 2013 – Dalam aspek pembelajaran sesuatu bahasa, pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) digesa supaya tidak sahaja belajar bahasa tersebut, tetapi juga menghargai keunikan budaya dan aspek sosial bahasa tersebut.

Demikian kata Profesor Adnan Hussein, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar ketika berucap di majlis perasmian Minggu Gala Bahasa 2013 anjuran Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PPBLT) USM di sini hari ini.

Menurut Adnan, inisiatif untuk menganjurkan program seumpama ini harus dipuji kerana program ini bukan sahaja dapat memperlihatkan variasi dan kepelbagaian budaya antarabangsa bahkan juga berjaya menjalinkan rangkaian kerjasama di peringkat global seiring dengan konsep pengantarabangsaan yang didukung oleh USM.

“Saya percaya kerjasama di peringkat antarabangsa ini dapat dikembangkan lagi dengan kerjasama yang lebih mantap bukan sahaja dari segi pengajaran bahasa melalui program akademik atau kursus bahasa yang ditawarkan misalnya kursus jangka pendek Bahasa Inggeris, malah dari segi latihan yang diberikan kepada guru dan pensyarah dari luar negara serta dari segi kajian dan penyelidikan bahasa khususnya Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

“Selain itu, melalui penglibatan pelajar dalam program seumpama ini, diharapkan dapat memperlengkapkan pelajar dengan ilmu pengetahuan, nilai dan kemahiran insaniah sekaligus menyokong aspirasi universiti untuk melahirkan pelajar yang lebih menyeluruh dan seimbang dari segi intelek, emosi dan jasmani,” kata Adnan.

Sementara itu, Dekan PPBLT, Profesor Madya Dr. Tengku Sepora Tengku Mahadi berkata, Minggu Gala Bahasa ini menggambarkan komitmen PPBLT dalam meraikan kepelbagaian bahasa yang diajarkan di PPBLT di samping memperkayakan keanekaan budaya yang terdapat di kampus USM, dan ini dapat dilihat dari penyertaan pelajar yang begitu menggalakkan dari sembilan negara yang bahasanya diajar di PPBLT seperti bahasa Arab, Cina, Perancis, Jerman, Jepun, Korea, Sepanyol, Thai dan Tamil selain bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

“Saya berharap PPBLT akan terus menjadi hub universiti untuk pembelajaran berbilang bahasa dan juga perkongsian budaya yang beraneka jenis bukan sahaja di Malaysia malah di rantau ASEAN dan dunia,” kata Tengku Sepora.

Hadir sama pada majlis perasmian tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Ahmad Shukri Mustapa Kamal; Konsul-Jeneral Negara Jepun ke Malaysia, En. Ryuji Noda; Timbalan Konsul-Jeneral Negara Thai, En. Chong Char Oen; Presiden Kyoto University of Foreign Studies, Profesor Dr. Takeshi Matsuda; dan Pengarah British Council Pulau Pinang, Cik Peggy Lim.

Dalam acara tiga hari tersebut, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan, antaranya pameran bahasa dan budaya, demonstrasi masakan, gerai makanan antarabangsa, tayangan filem, ceramah pendidikan dan budaya, dan permainan bahasa.  

Program tersebut berakhir dengan acara kemuncak iaitu Malam Persembahan Budaya 2013 yang mempertontonkan persembahan seperti drama tari, pelbagai tarian rakyat dan pop, nyanyian koir, dan demonstrasi seni mempertahankan diri seperti silat dan wushu. – Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md. Isa.

 

  • Created on .
  • Hits: 2084

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024