USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

2 PENYELIDIK USM TERIMA JUMLAH GERAN KPT RM3.4 JUTA UNTUK BANGUN PROJEK BERIMPAK TINGGI

USM PULAU PINANG, 5 November 2020 - Dua penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) masing-masing telah menerima geran berjumlah melebihi RM1 juta daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk memperkasakan projek-projek mereka yang berimpak tinggi.

Pensyarah daripada Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Dr. Mohd Zulkifli Mustafa memperolehi Geran Translational Research KPT (TR@M)berjumlah RM1,927,000 untuk projek bertajuk “Scale-Up of Premium Madu Kelulut Production as a New Commodity and Remedy Via Advance National Honey Landmark (AnNahl) Project”.

WhatsApp_Image_2020-11-04_at_16.56.17.jpeg

Zulkifli amat dikenali dengan cara dan kaedah yang digunakan untuk penternakan lebah kelulut secara sistematik dalam usahanya memastikan madu yang dihasilkan benar-benar berkualiti melalui ladang kelulutnya di USM dan Pakar Neurologi ini juga merupakan pelopor kepada Inovasi Mustafa Hive yang telah memenangi pingat emas inovasi asas tani untuk kategori ciptaan beberapa tahun yang lalu.

USM melalui Zulkifli juga telah melatih 3,000 warga daripada luar bandar di Malaysia untuk bergiat aktif sebagai penternak lebah kelulut dan memastikan madu yang dihasilkan benar-benar berkualiti untuk dikomersialkan.

Sebahagian besar peserta terdiri daripada suri rumah dan golongan B40 yang diharapkan dapat meningkatkan jumlah pendapatan isi rumah mereka melalui program ini.

Sementara itu, Pensyarah merangkap Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) USM, Profesor Dato’ Dr. Aileen Tan Shau Hwai turut memperolehi Geran Translational Research KPT (TR@M) berjumlah RM1,500,000 untuk projek beliau bertajuk “Oyster Farming as an Alternative Income, a Solution to Sustainable Aquaculture”.

WhatsApp_Image_2020-11-04_at_16.56.17_1.jpeg

Aileen yang mengendalikan sebuah pusat penyelidikan hidupan marin tertua di Malaysia yang dikenali sebagai CEMACS yang telah beroperasi selama 37 tahun, telah membangunkan penyelidikan berimpak ini yang hasilnya dapat dimanfaatkan oleh komuniti sekitar.

Beliau turut menegaskan penyelidikannya lebih berfokus kepada haiwan bercangkerang dan tiram; pengeluaran benih tiram yang berkualiti tinggi merupakan salah satu inisiatif yang dijalankan khususnya untuk menaiktarafkan kelangsungan hidup komuniti nelayan menjadi komuniti yang mampu menjalankan perniagaan sendiri.

Kedua-dua pensyarah ini amat pakar dalam lapangan masing-masing iaitu madu kelulut dan juga tiram, dan telah menempa nama dalam mempromosikan produk-produk ini untuk penyelidikan dan juga pengkomersilan untuk universiti.

Translational Research @ MoHE (TR@M) merupakan skim geran penyelidikan strategik yang ditawarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang memfokuskan kepada penyelidikan yang dapat menghasilkan output dan outcome berimpak kepada kerajaan, komuniti, industri dan akademia (“quadruple helix”).

Melalui skim geran penyelidikan ini juga, ia mampu untuk mengetengahkan dan menghebahkan kepentingan hasil penyelidikan yang telah dijalankan oleh Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang banyak memberikan impak besar kepada pihak-pihak berkepentingan dalam konteks “quadruple helix”. 

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Infografik: Pusat Inovasi & Perundingan 

  • Created on .
  • Hits: 3143

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024