WARGA KAMPUS DISERU LEBIH PRIHATIN TERHADAP GOLONGAN BOTTOM BILLION
PULAU PINANG, 22 April 2013 – Warga universiti diseru untuk lebih prihatin dan komited dalam menjalankan aktiviti-aktiviti yang dapat membantu memperkasakan golongan bottom billion atau dikenali juga sebagai golongan keterbawahan sejajar dengan visi Universiti Sains Malaysia (USM) “Mentransformasikan Pengajian Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok.”
Demikian kata Profesor Dato’ See Ching Mey, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat ketika berucap di majlis perasmian program Minggu Bottom Billion USM di sini hari ini. Seramai 150 orang warga USM yang terdiri daripada pelajar dan staf telah menyertai program ini yang diinisiatifkan oleh ADWAVE 2013 dari Pusat Pengajian Komunikasi USM dengan kerjasama Perpustakaan Hamzah Sendut USM.
Katanya, program ini yang merupakan salah satu usaha dalam proses perletakan jenama USM sebagai sebuah Universiti APEX yang memfokuskan ke arah dua elemen penting iaitu kelestarian dan bottom billion, diharap dapat mendidik serta meningkatkan kefahaman dan kesedaran dalam kalangan warga kampus tentang konsep bottom billion.
“Saya amat berharap dengan adanya kefahaman dan kesedaran ini, staf dan siswa-siswi USM akan dapat mengeluarkan idea, dan melibatkan diri secara giat dan berterusan dalam aktiviti-aktiviti yang mampu memperkasakan golongan bottom billion ini supaya mereka dapat meneruskan hidup dengan lebih selesa dan berdikari serta tidak mengharapkan bantuan daripada masyarakat lain.
“Bukan sahaja idea untuk membantu golongan bottom billion ini penting tetapi niat yang datang dari hati untuk memperkasakan golongan tersebut jauh lebih penting,” tambah beliau.
Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Komunikasi, Prof. Madya Dr Jamilah Hj Ahmad berkata, universiti bertanggungjawab untuk mendidik dan memupuk pelajar supaya mereka dapat menyumbang kepada komuniti pada masa hadapan, termasuklah kepada golongan bottom billion ini.
“Setiap Pusat Tanggungjawab (PTJ) mempunyai pelbagai kepakaran dan sumber seperti kepakaran staf akademik, teknikal, infrastruktur dan peralatan serta pelajar siswazah dan prasiswazah yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya untuk menghasilkan inovasi yang boleh ditransformasi kepada sesuatu yang berguna untuk memperkasakan golongan bottom billion ini demi kesejahteraan hidup semua,” ujar beliau.
Program ini, yang dijalankan selama tiga hari bertempat di Perpustakaan Hamzah Sendut USM, juga membantu memperkenalkan kajian berkaitan dengan bottom billion yang telah dilakukan oleh pensyarah di USM melalui pameran penyelidikan yang diadakan.
Pelbagai aktiviti yang bermakna dan menarik telah disediakan untuk menggalak penonton untuk mengambil bahagian dalam program ini seperti pameran, ceramah, kuiz dan tayangan filem.
Turut hadir dalam majlis perasmian ialah En. Mohd Pisol Ghadzali, Ketua Pustakawan USM; Pn. Kamaliah Hj Siarap, Penasihat ADWAVE 2013; Cik Koh May Rui, Pengarah ADWAVE 2013; Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM, Sdr. Muhammad 'Ammar bin Mohd Aziz dan pegawai utama universiti. – Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1917