PELUANG PERKONGSIAN ILMU DENGAN TAKAFUL MALAYSIA
Pulau Pinang, 23 April 2013 – Syarikat Takaful Malaysia Berhad menyumbangkan wang rebat sebanyak 15% iaitu RM 261,727.23 kepada USM sebagai Rebat Tanpa Tuntutan selepas tempoh matang perlindungan.
Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman berkata, USM berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih atas keistimewaan ini dan ini menunjukkan USM mencatat rekod bersih tanpa mengalami sebarang kebakaran atau kerugian besar dalam tempoh tersebut. Menurut beliau, wang hadiah ini akan dihadiahkan kembali kepada para pelajar yang juga aset kepada universiti.
"Dalam kengkangan kewangan yang dihadapi, universiti dapat menghadiahkan wang ini untuk pembangunan pelajar di mana mereka ini adalah aset utama universiti dan juga pemimpin masa hadapan.
"Hasrat saya adalah untuk menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan Takaful Malaysia terutamanya dalam penganjuran program-program perkongsian ilmu."
Cek tersebut telah disampaikan oleh Pengurus Wilayah (Utara), Syarikat Takaful Malaysia Berhad, Encik Khairon Anuar Mahamed.
Majlis yang diadakan di Pusat NADI USM ini turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor, Bahagian Jaringan dan Industri, Profesor Dato’ See Ching Mey, Pendaftar, Puan Siti Zubaidah A. Hamid dan juga Pengarah, Pusat Pembangunan Perniagaan, Keusahawanan dan Pengurusan Risiko, Y. Bhg. Datin Dr. Joriah Muhammad. Teks: Nor Rafizah Md Zain/ Foto: Mohd Fairus Md Isa.
- Created on .
- Hits: 1867