USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

REKONSTRUKSI PAYUDARA KEMBALIKAN POTENSI DIRI 'SURVIVOR' KANSER

368c8957 0247 44ce a703 81bd3a411e40 1

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 Oktober 2020 – Saat disahkan menghidap kanser payudara pastinya memberi tamparan hebat buat kaum wanita, apatah lagi jika terpaksa menjalani mastektomi atau pembedahan membuang payudara.

Kebanyakan wanita menyamakan kehilangan payudara seperti kehilangan nikmat menjadi ibu, seksualiti dan estetika malah menganggapnya sebagai hilang mahkota kedua kaum hawa selain turut hilang daya tarikan, kesuburan, kewanitaan serta keperibadian mereka secara menyeluruh.

Menurut Pakar Bedah Rekonstruksi dan Pembedahan Plastik, Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Siti Fatimah Noor Mat Johar, pesakit yang sudah bebas daripada kanser payudara, mereka mempunyai pilihan untuk melakukan rekonstruksi bagi memulih dan membina kembali bentuk payudara mirip yang asal.

b11f9e0c 917d 44ba ad59 4fe22dccca51

“Pembinaan semula payudara boleh dilakukan dengan tiga pilihan utama iaitu pemilihan isi tubuh badan pesakit itu sendiri (autologous), pembinaan semula menggunakan payudara palsu (prostesis) atau gabungan kaedah autologous dan prostesis.

“Sehingga kini, lebih 500 pesakit kanser payudara direkodkan telah menjalani pelbagai kaedah rekonstruksi (pembinaan semula) payudara di Hospital USM dan kaedah rekonstruksi yang banyak menjadi pilihan pesakit kanser payudara adalah melalui autologous berbanding penggunaan implan atau payudara palsu.

“Ini disebabkan kekeliruan fatwa, selain kos rawatan yang agak tinggi kerana harga satu implan antara RM1,000 hingga RM3,000 bergantung kepada jenis dan kualiti,” ujarnya.

Tambah Fatimah, kaedah autologous ialah menggunakan tisu termasuk kulit dan otot yang diambil daripada bahagian lain badan pesakit untuk membentuk semula payudara sama ada ‘pedicled flap’ atau ‘free flap’.

“Tisu lemak pesakit yang diambil akan digunakan untuk menghasilkan payudara yang lembut serta bersifat semula jadi.

“Kelebihan pemilihan kaedah autologous ialah merupakan pembedahan yang kekal dan mempunyai sedikit komplikasi berbanding pembedahan prostesis,” jelasnya lagi.

Fatimah berkata, namun demikian, prostesis pula mempunyai kelebihan dari segi kemudahan untuk melakukan pembedahan dan kekurangan kecederaan yang diakibatkan oleh pengambilan tisu daripada pesakit tersebut.

Sementara itu, Pakar Perunding Pembedahan Plastik dan Rekonstruksi Hospital USM, Profesor Dr. Wan Azman Wan Sulaiman pula berkata, secara kasar, garis masa pembedahan rekonstruksi payudara terbahagi kepada tiga iaitu pembedahan rekonstruksi segera, pembedahan rekonstruksi awal yang ditunda dan pembedahan rekonstruksi yang ditunda.

“Terdapat dua faktor penentu garis masa sama ada pesakit memerlukan pembedahan rekonstruksi awal yang ditunda atau pembedahan rekonstruksi ditunda iaitu bergantung kepada ‘defek mastektomi’ serta pesakit tersebut memerlukan radioterapi atau tidak,” katanya.

Wan Azman turut menjelaskan bahawa Hospital USM mempunyai kemampuan serta kepakaran untuk membina semula payudara bagi mengembalikan imej dan keyakinan pesakit terhadap dirinya sendiri.

“Pakar-pakar di Hospital USM mempunyai pengalaman yang cukup untuk memberi rawatan yang terbaik kepada pesakit berdasarkan teknologi terkini.

“Selain mempunyai kepakaran melakukan rekonstruksi, Unit Sains Rekonstruktif, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM juga merupakan satu-satunya pusat latihan sarjana kepakaran klinikal bidang Surgeri Plastik yang terdapat di Universiti Awam di Malaysia," ujar beliau lanjut.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 1149

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024