ANTARA BUDU DAN NASI KANDAR: NORIAH KENTAL HADAPI CABARAN MEMBINA KERJAYA
PULAU PINANG, 27 Oktober 2020 – Beliau berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang namun jika dilihat dari tuturnya seakan sukar untuk meneka kerana dialeknya tidak sangat berbunyi seperti loghat ‘Kelate’. Mungkin kerana setengah dari umurnya sudah jauh merantau dan berbakti di luar negeri Kelantan.
Yang dimaksudkan ialah Mantan Ketua Timbalan Pendaftar Kanan, Universiti Sains Malaysia (USM), Noriah Mohamad yang menamatkan perkhidmatannya 30 Oktober 2020 ini.
Memulakan karier seawal tahun 1984 setelah menamatkan pengajian, juga dari USM dalam jurusan Sastera (Major Komunikasi-Minor Pengurusan), Noriah tidak pernah menoleh ke belakang sehinggalah ke hari persaraannya setelah 36 tahun menabur bakti dan keringat.
Mengimbau kenangannya pada awal perkhidmatannya, anak kelahiran Bachok ini mengakui pada mulanya keinginan untuk berkhidmat di Kampus Kesihatan USM amatlah tinggi.
Malah, ketika ditemuduga beliau tidak malu-malu untuk menyatakan hasratnya untuk bertugas di negeri kelahirannya. Namun hasrat meningginya terkubur kerana ditawarkan tempat bertugas di kampus induk, Pulau Pinang.
“Saya bercita-cita sangat hendak balik ke Kelantan. Namun siapa sangka, sehingga pencen saya kekal di negeri ‘nasi kandar’. Pun begitu saya tidak pernah kesal kerana terlalu sayang USM. Banyak yang saya belajar di sini dan saya pun sudah selesa dengan suasana di Pulau Pinang, dari zaman bergelar mahasiswa USM sampailah sekarang,” ujar beliau.
Noriah melapor diri di Bahagian Akademik dan Antarabangsa pada tahun 1984 dan berkhidmat di sana sehingga 1991 sebelum dinaikkan pangkat dan ditempatkan di Bahagian Sumber Manusia (1992-2004).
Beliau turut menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Sebaik kembali bertugas, Noriah ditempatkan di beberapa pusat pengajian sebelum perkhidmatan terakhirnya di Jabatan Pendaftar.
Dipendekkan cerita, beliau yang mendirikan rumahtangga di usia muda sebaik tamat pengajian tidak pernah menyesal dengan suratan yang telah tertulis.
Terus mengorak langkah, Noriah tidak menoleh dan memberikan yang terbaik dalam bidang tugasnya. Beliau menjalankan tugas-tugas pentadbiran dan pengurusan walaupun mengakui minat sebenarnya adalah dalam bidang yang berkaitan komunikasi termasuk perhubungan awam.
“Saya pernah ditawarkan oleh pengurusan tertinggi untuk menyertai Unit Perhubungan Awam USM. Antara bidang yang saya minati. Namun saya rasa sedikit terkilan kerana terpaksa menolak.
“Ketika ditawarkan, saya sedang sibuk membesarkan anak-anak yang kesemuanya masih kecil-kecil. Saya bimbang tidak dapat memenuhi tuntutan tugas dalam bidang perhubungan awam yang menuntut banyak pengorbanan khususnya dari aspek masa,” katanya.
CEKAL MENGURUS KARIER DAN KELUARGA
Mengulas mengenai cabarannya menggalas tugas-tugas mencabar sebagai ketua di tempat kerja dan dalam masa yang sama mengurus keluarga, beliau bijak membahagikan masa dan memilih kedua-duanya sebagai faktor penting dalam kehidupan dan perlu diberi perhatian sewajarnya.
Noriah yang mendirikan rumahtangga dengan jejaka pilihannya yang juga alumni USM, Mohamad Nazri Musir dikurniakan empat orang cahaya mata. Ia adalah antara anugerah yang tidak ternilai buat dirinya.
“Tidak dinafikan, banyak pengorbanan yang perlu dilakukan untuk menjayakan kedua-duanya iaitu menguruskan keluarga dan juga karier.
“Namun saya bersyukur kerana sehingga kini saya telah berusaha memberikan yang terbaik semampunya. Dalam kerjaya ada pasang surutnya, ada cabarannya dan saya selalu mengambil positif segala cabaran dan meneruskan kerja seperti biasa. Paling penting berusaha memberikan hanya yang terbaik. Saya tidak pernah mencampur-adukkan urusan keluarga dengan tanggungjawab di tempat kerja,” katanya.
Noriah juga terkenal dengan sifatnya yang tegas dan sentiasa fokus dalam tugasnya.
Mengulas lanjut katanya: “Fokus pada tugas penting kerana ia menjamin seseorang untuk mengurangkan kesilapan. Sebagai contoh, jika kita bertugas di bahagian data, jika tiada fokus dan ketelitian, ia akan menjurus kepada pelbagai kesilapan yang boleh membahayakan pihak lain khususnya Universiti secara keseluruhan.
“Saya juga selalu berpesan kepada staf, kerja kita adalah satu ibadah dan tanggungjawab yang perlu dijalankan dengan sebaiknya. Integriti juga sangat penting untuk dibudayakan kerana tanpa integriti maka lenyaplah nilai-nilai murni dan amanah yang perlu ada dalam setiap organisasi.”
TAULADAN KEPIMPINAN
“Saya selalu menjadikan ketua-ketua jabatan saya yang terdahulu sebagai contoh dalam menjalankan amanah sebagai pemimpin di tempat kerja.
Paling saya ingat ialah Dato’ Siti Mazenah Saad, Pendaftar pada ketika itu. Sifatnya yang tegas dan profesional dengan staf seliaannya banyak mendorong saya untuk cuba mengambil pendekatan terbaik untuk berhadapan cabaran menguruskan pasukan.
“Saya sering berpesan kepada semua staf, jika saya masih menegur itu tandanya saya masih ambil berat dan peduli pasal mereka. Jika sebaliknya, itu bermakna saya sudah tidak kisah. Bukan bermaksud mengenepikan mereka, namun ada kalanya ketegasan perlu untuk menjamin amanah yang kita galas dapat disempurnakan sebaiknya.
“Namun diam saya bukan sebarangan. Saya ingatkan staf bahawa di akhirnya ketika penilaian, saya ambil kira semua faktor dan jangan disalahkan ketua jabatan jika sekiranya kita sendiri tidak amanah dan jujur dalam pekerjaan.
“Saya lebih senang mengambil konsep keluarga yang mana sebagai ibu bapa kita wajib menegur jika anak-anak membuat kesilapan. Staf perlu tahu yang mereka bertanggungjawab atas setiap tindakan yang dilakukan,” katanya.
Beliau juga mengakui beliau bukan jenis yang gemar memendam rasa atau menyimpan amarah.
Juga mengambil contoh mantan ketuanya terdahulu, Noriah mengambil pendekatan terbuka dalam menegur dan menerima teguran.
Katanya: “Amarah jika disimpan hanya akan memakan diri sendiri. Marah atas dasar kerja adalah lumrah, namun ia perlu berpada-pada dan tidak terbawa-bawa sehingga memudaratkan diri sendiri dan orang lain.”
Noriah juga mengakui terlalu banyak kenangan untuk diceritakan sepanjang bertugas di bawah kepimpinan enam orang Naib Canselor, daripada Tan Sri Dato' Musa Mohamad sehinggalah yang terkini Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan.
“Cukuplah saya sekadar berkongsi bagaimana satu ketika dahulu pernah berhasrat meninggalkan universiti kerana mahu mengikut suami yang bertukar tempat kerja di Pahang.
“Namun setelah beberapa kali melakukan solat istikharah, rasa sayang dan cinta kepada USM makin menebal dan sehingga akhirnya saya mengambil keputusan untuk terus bersama USM,” ujar beliau yang turut terkenal dengan keramahan dan senyuman manisnya ketika disapa rakan-rakan dan kenalan.
Tambahnya mengakhiri perbualan dalam ketawa kecil: “Ini hanya kisah kecil mengenai ‘mek Kelate make budu’ yang berhijrah ke syurga nasi kandar mencapai cita-cita dan membina keluarga bahagia.”
Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1603