HARI ARKEOLOGI PERINGKAT TADIKA NEGERI KEDAH, MEDAN USM PERKASAKAN KESEDARAN ARKEOLOGI BUAT GENERASI MUDA
KULIM, KEDAH, 26 Oktober 2020 - Universiti Sains Malaysia (USM) dan Teroka Travel and Tours buat pertama kalinya mengadakan program ArchaeoJunior peringkat tadika sempena Hari Arkeologi Peringkat Tadika negeri Kedah baru-baru ini bagi memperkasakan agenda pembangunan pengetahuan anak-anak muda mengenai kepentingan arkeologi negara.
Program ini diadakan susulan daripada pelancaran Archaetourism di antara USM dan Teroka Travel and Tours pada bulan Februari lalu di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Program yang dihoskan oleh Tadika Tinta Khalifah di sini turut dihadiri oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) USM, Profesor Dato’ Dr. Mokhtar Saidin yang merasmikan Hari Arkeologi Peringkat Tadika Zon Kedah dan turut sama menyertai aktiviti-aktiviti yang disediakan bersama para guru, keluarga dan 40 orang pelajar.
Dalam ucapan perasmian, Mokhtar berkata program sebegini amat penting untuk anak-anak muda seawal 5 tahun bagi mempromosi, mendedah dan menarik minat masyarakat tempatan mengenai kepentingan sejarah arkeologi negara.
“Menjadi keutamaan USM sebagai institusi pendidikan bagi memperkasakan arkeopelancongan di negara ini pada peringkat akar umbi dengan memberi penekanan kepada kanak-kanak melalui program ArchaeoJunior, agar mereka didedahkan kepada industri pelancongan arkeologi di negara ini sejak muda lagi,” ucap beliau.
Katanya lagi, kesedaran mengenai arkeologi buat kanak-kanak sememangnya amat memberi impak kepada jati diri dan menanamkan rasa sayang pada negara terutamanya apabila mengetahui sejarah awal negara dan asal usul bangsa.
Yang turut hadir adalah Konsultan Jualan dan Pemasaran Teroka Travel and Tours, Dr. Azrina Ahmad; Pengetua Tadika Tinta Khalifah, Nadiatul Syakira Abd Kamil; para guru tadika dan pelajar bersama ahli keluarga masing-masing.
Antara aktiviti yang disediakan pada hari tersebut adalah sesi penerangan kepada pelajar dan keluarga mengenai kepentingan arkeologi negara, aktiviti ekskavasi dan aktiviti ‘stone painting’.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Muhammad Firdaus Mohd Hazri
- Created on .
- Hits: 1325