USM MANFAATKAN PELUANG PROJEK KELESTARIAN ALAM SEKITAR
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 Oktober 2020 - Selaras dengan usaha melestarikan alam sekitar khususnya persekitaran kampus, Universiti Sains Malaysia (USM) menyambut baik hasrat Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melaksanakan projek laluan denai di pinggiran Sungai Pengkalan Datu, di sini.
Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Ahmad Sukari Halim berkata, melalui projek tersebut, USM secara tidak langsung turut mendapat manfaat kerana sebahagian daripada kawasan kampus berada di pinggiran sungai dan hari ini USM berbesar hati dapat bekerjasama dengan menyediakan tempat kepada pihak KASA dalam melaksanakan majlis perasmian laluan denai sempena Sambutan Hari Alam Sekitar.
"Sebahagian kawasan kampus yang berada di pinggiran Sungai Pengkalan Datu ini telah kita bangunkan bersama-sama staf dari Unit Kejururawatan, para pesara USM dari Kelab Jasa Budi serta pelajar sejak dua tahun yang lalu sebagai satu kawasan untuk kegiatan staf serta aktiviti ko-kurikulum pelajar.
"Saya berharap kerjasama antara agensi kerajaan seperti ini mampu menjadikan kawasan Kubang Kerian sebagai salah satu kawasan contoh di mana kita meningkatkan tahap kebersihan selaras dengan Kampus Kesihatan yang menjadikan kebersihan dan kesihatan sebagai tunjang utama, dan hasil yang kita lihat pada hari ini adalah sebahagian dari apa yang diaspirasikan sebelum ini,” ujar beliau lagi.
Sempena majlis itu juga, Sukari bagi pihak USM menerima sijil penghargaan 'Sahabat Sungai' yang disampaikan oleh Menteri KASA, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai penghargaan di atas kerjasama dan penglibatan USM dalam projek tersebut.
Denai Sungai Pengkalan Datu, Kubang Kerian ini merupakan antara projek perintis di bawah program Pelestarian Sungai melalui Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) hasil inisiatif KASA.
Program DSK menyasarkan 10,000 km denai dibina menjelang 2030 di seluruh negara bagi memberi galakan kepada komuniti setempat dan pihak berkepentingan dalam memastikan sungai di Malaysia terpelihara daripada pencemaran.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 1711