USM SANTUNI 124 STAF B40 PENERIMA SUMBANGAN ZAKAT
USM PULAU PINANG, 10 Oktober 2020 – Prihatin dengan kebajikan stafnya, Universiti Sains Malaysia (USM) telah bertindak proaktif dengan menyalurkan bantuan sumbangan zakat kepada 124 staf dalam kalangan B40 sebanyak RM300 seorang, dalam majlis ringkas di Dewan Jamuan Pusat Islam USM di sini pada 7 Oktober lalu.
Majlis penyerahan zakat itu dianjur oleh Pusat Islam USM dengan kerjasama Jawatankuasa Kebajikan Staf Jabatan Pendaftar USM dan dijalankan dengan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan COVID-19 yang ditetapkan.
Menurut Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato' Dr. Awang Adek Hussin, yang hadir menyampaikan sumbangan itu, USM melalui Pusat Islam sentiasa peka kepada permasalahan staf dan pelajar terutamanya dalam aspek kewangan, sehinggakan inisiatif kepada staf B40 (B1) diwujudkan dan berharap agar Pusat Islam terus komited dalam mengembangkan kewangan zakat supaya lebih ramai yang akan mendapat faedahnya.
“Saya berharap melalui sumbangan zakat ini, staf yang berhadapan dengan masalah kewangan akan dapat dibantu dan dalam masa yang sama mereka dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pekerjaan,” katanya.
Katanya lagi, diharapkan sumber dana bantuan zakat dapat dipelbagaikan dan jumlah penerima bantuan zakat juga dapat ditingkatkan dari masa ke semasa.
Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dalam ucapan alu-aluannya, mengucapkan tahniah kepada semua penerima yang terpilih serta amat menghargai keprihatinan Pusat Islam dalam menyalurkan sumbangan zakat untuk dimanfaatkan oleh para asnaf dari kalangan staf dan pelajar yang memerlukan.
“Cabaran untuk menguruskan kebajikan dan kesejahteraan warga USM yang meliputi staf dan pelajar sentiasa meningkat dan sehubungan itu, komitmen dan penglibatan semua terutama pihak swasta dan korporat, amat dialu-alukan pihak Universiti,” ujarnya.
Bagi pelajar pula, Naib Canselor juga berharap sumbangan itu sedikit sebanyak dapat membantu pelajar terpilih yang datang dari keluarga B40 untuk menangani kos sara hidup mereka di kampus, sekaligus membolehkan mereka memberikan sepenuh tumpuan kepada pencapaian akademik mereka.
Memandangkan betapa sumbangan zakat hari ini begitu bermakna bagi sebahagian komuniti staf dan mahasiswa, pihak pengurusan Universiti akan terus mencari jalan dan berusaha bagi membantu meringankan beban mereka mengikut had keupayaan kewangan sedia ada, walaupun terpaksa berdepan dengan ancaman COVID-19,” tambahnya lagi.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang, Tuan Haji Amran Hazali; Timbalan Naib Canselor (TNC) Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; TNC Kelestarian dan Pembangunan Institusi USM, Profesor Dr. Md. Roslan Hashim; Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria; Pengurus Besar Jabatan Operasi Kutipan, Zakat Pulau Pinang, Ustaz Omar Ibrahim Khalid; Pengarah Pusat Islam USM, Tuan Haji Mohammad Shukri Osman; barisan pengurusan tinggi USM dan pihak pengurusan Zakat Pulau Pinang.
Teks: Zamzami Rasidi/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: Ebrahim Abdul Manan & Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 1280