USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BAH KUNING TITIK PERMULAAN NAJI AKTIF SANTUNI MASYARAKAT

KOTA BHARU, KELANTAN, 20 Oktober 2020 – Tragedi ‘Bah Kuning’ Disember 2014 akan terus melekat dalam ingatan seluruh rakyat negeri Kelantan.

Melihat keperitan yang ditanggung oleh seorang sahabat yang juga merupakan rakan setugas terkesan teruk dalam banjir besar yang melanda itu membuka mata Naji Esah Hamzah, 33, seorang jururawat yang bertugas di Wad 1 Berlian, Hospital Universiti Sains Malaysia.

1.jpg

“Itulah titik permulaan bagaimana saya terlibat dengan kerja-kerja kebajikan, apabila melihat sendiri kemusnahan yang dialami oleh rakan sekerja saya, rumah beliau musnah dan beliau tidak mendapat sebarang bantuan dari mana-mana pihak.

“Saya membantu melakukan pembersihan di rumah sahabat saya itu dan menghulurkan pelbagai bentuk bantuan yang diperlukan dengan hasil dari tabung kebajikan keluarga saya sendiri,ujar beliau menceritakan detik-detik permulaan aktiviti yang disertainya.

Menurut Naji, rentetan dari situ, beliau meneruskan kerja-kerja kebajikan dan giat menjalankan pemeriksaan kesihatan secara percuma dari rumah ke rumah di sekitar Kampung Padang Kala, Kubang Edang selain terlibat sebagai sukarelawan misi kebajikan dan kesihatan anjuran badan-badan bukan kerajaan (NGO).

"Saya sering menyertai misi kebajikan kesihatan oleh Medicom Malaysia dan Muslimat Medical (MusMed) di seluruh Malaysia bermula tahun 2015 bahkan bukan sahaja di dalam negeri Kelantan malahan di negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak.

“Memandangkan saya seorang jururawat dan bertugas di wad bersalin, saya fokus kepada aspek kesihatan dan pernah menjadi panel dalam pengurusan langkah-langkah bersalin yang selamat kepada penduduk di Pulau Mabul yang tidak mempunyai kemudahan klinik dan hospital, yang mana sesi pemindahan ilmu dan perkongsian tersebut dapat mengurangkan risiko serta komplikasi sepanjang tempoh ibu mengandung, bersalin serta penjagaan selepas bersalin,” katanya lagi.

Anak ke-enam dari 11 orang adik-beradik ini merupakan bekas pelajar jurusan Diploma Kejururawatan di Pusat Pengajian Sains Kesihatan, USM. 

Kesibukan harian melaksanakan tugasan hakiki di samping menguruskan ibu bapa yang merupakan warga emas, bukanlah halangan kepada beliau untuk bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan biarpun dengan mengeluarkan sumber kewangan sendiri.

Berbekalkan iltizam dan semangat juang yang tinggi berkhidmat kepada masyarakat telah melayakkan beliau menerima Anugerah Tokoh Amilin Kebajikan Kategori Wanita sempena Hari Kebajikan Negeri Kelantan 2020 yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Hajjah Siti Zailah Mohd Yusoff di Dewan Besar Balai Islam, Kompleks Islam Darulnaim.

Ditemui selepas menerima anugerah tersebut, Naji memberitahu, beliau sangat bersyukur kerana dipilih sebagai penerima anugerah dan merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada kedua-dua ibu bapa yang memahami minatnya.

"Selain itu, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Jururawat Wad 1 Berlian yang sentiasa membantu menyediakan jadual kerja yang bersesuaian apabila saya terlibat dengan program.

"Di kesempatan ini juga, saya ingin menyeru kepada semua rakan-rakan, dalam kesibukan kita bekerja, ambillah sedikit masa untuk kita membantu mereka yang memerlukan kerana senyuman kegembiraan mereka adalah satu kepuasan buat kita,” ujar beliau mengakhiri perbualan.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 1016

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024