USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

UBAH NASIB OKU BUKTI KECAKNAAN TOKOH AKTIVIS KEBAJIKAN

KOTA BHARU, KELANTAN, 20 Oktober 2020 – Profesor Madya Dr. Haji Mohamed Saat Haji Ismail bukanlah figura asing dalam kalangan orang kurang upaya (OKU), malahan boleh dianggap sebagai bapa kepada semua pelatih di Pusat Transformasi OKU, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) Universiti Sains Malaysia (USM) sejak ianya ditubuhkan pada tahun 2018.

WhatsApp_Image_2020-10-22_at_06.57.24_2.jpeg

Beliau yang juga penasihat Pusat Transformasi OKU ketika ditemui melahirkan rasa syukur atas penerimaan anugerah tersebut serta berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan dan USM khususnya yang memberi peluang kepada beliau mengetengahkan kepentingan OKU.

“Perjuangan saya bermula pada tahun 2008 untuk memperkasakan golongan OKU intelek dan dengan bantuan pasukan dari PPSK USM, seramai 65 orang OKU telah diterima bekerja setelah menjalani latihan di bawah bimbingan Unit Transformasi OKU, PPSK USM.

“Selain itu, sebagai Pengerusi Koperasi Warga USM Kelantan Berhad (COOPUSMA), saya juga telah mengambil sembilan (9) orang pelatih bekerja dengan COOPUSMA dan Pusat Dialisis,” ujarnya.

Kecaknaan Mohamed Saat terhadap golongan OKU menjadi kayu pengukur untuk membolehkan beliau dianugerahkan Tokoh Aktivis Kebajikan kategori Cakna OKU sempena Hari Kebajikan Negeri Kelantan 2020 yang berlangsung di Kompleks Balai Islam, di sini semalam.

Menurut Mohamed Saat, anugerah tersebut memberi keinsafan kerana kerja keras beliau selama ini untuk melihat golongan OKU intelek dapat berdikari dan memajukan status sosial mereka terlaksana jua.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada USM kerana mewujudkan Unit Transformasi OKU di PPSK dan menyokong perjuangan kami untuk memartabatkan golongan OKU sehingga dipilih menjadi ikon bagi negeri Kelantan.

“Terbaharu, kami juga diberi kepercayaan oleh Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) untuk membangunkan Pusat Sehenti OKU dengan jumlah dana sebanyak RM400,000,” katanya lagi.

Tambah Mohamed Saat, beliau berharap semoga nasib golongan OKU sentiasa terbela dan agenda untuk mentransformasikan golongan OKU berterusan selari dengan hasrat USM sebagai Universiti APEX yang sentiasa mengutamakan golongan terkebawah dalam memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 865

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024