USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM METERAI KERJASAMA PROGRAM TRANSFORMASI OKU

KOTA BHARU, KELANTAN, 19 Oktober 2020 - Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuhkan kedudukan dalam usaha memperkasakan golongan orang kurang upaya (OKU) melalui projek latihan transformasi OKU yang dilaksanakan oleh Unit Transformasi OKU, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK).

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Ahmad Sukari Halim berkata, USM menyambut baik kerjasama dengan Kerajaan Negeri Kelantan dalam program transformasi OKU ini.

WhatsApp_Image_2020-10-22_at_06.57.24_1.jpg

"Pada peringkat permulaan, Unit Transformasi OKU akan melaksanakan program pemindahan ilmu kepada Kerajaan Kelantan melalui Projek Modifikasi Khas Kerusi Roda.

"Program pemindahan ilmu ini bertujuan bagi membolehkan Pusat Khidmat Modifikasi Khas Kerusi Roda dapat diwujudkan di luar kampus USM dalam usaha memberi khidmat kepada rakyat Kelantan dengan lebih meluas," ujarnya.

Sukari ditemui semasa mewakili Naib Canselor USM menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara USM dan Kerajaan Negeri Kelantan yang ditandatangani oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kerajaan Negeri Kelantan, Dato' Hajjah Mumtaz Md. Nawi di Dewan Besar Balai Islam, Kompleks Islam Darulnaim hari ini.

 WhatsApp_Image_2020-10-22_at_06.57.24.jpeg

Selain daripada MoU, lebih manis lagi apabila dua orang staf Kampus Kesihatan telah menerima anugerah sempena Hari Kebajikan Negeri Kelantan 2020 iaitu Tokoh Aktivis Kelantan kategori Cakna OKU dan Tokoh Amilin Kebajikan Kategori Wanita.

Bagi pihak Universiti, Sukari merakamkan ucapan tahniah serta berbangga kerana anugerah ini menunjukkan kecaknaan serta nilai-nilai murni staf USM terlibat dengan program-program kebajikan di peringkat negeri.

"Saya juga mengharapkan agar lebih ramai lagi staf di Kampus Kesihatan yang mencontohi semangat sebegini. Walaupun dalam kesibukan tugas seharian, masih sempat meluangkan masa menabur khidmat untuk kebajikan masyarakat," katanya lagi.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 802

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024