BINA KEKUATAN ALUMNI DENGAN AKTIVITI SANTAI – NAIB CANSELOR USM
Pulau Pinang, 18 April 2013 – Aktiviti 'Jom Santai Alumni Bersama Naib Canselor' dapat membina kekuatan alumni yang dianjurkan dengan kerjasama di antara Pejabat Pemajuan dan Perhubungan Alumni (PPPA) dan Persatuan Alumni Universiti Sains Malaysia (PAUSM). Program ini telah berjaya mengumpulkan hampir 100 orang alumni dan pelajar Desasiswa Cahaya Gemilang di Anjung Jannatun, Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini.
“Program santai dan mesra seperti ini mampu membina kekuatan di kalangan alumni berbanding program-program formal yang biasanya dijalankan di universiti ini,” kata Naib Canselor USM, Prof Dato’ Omar Osman.
Program santai ini juga dimulakan dengan program gotong-royong sepanjang jalan bermula dari Anjung Budi sehingga ke Anjung Jannatun (kediaman rasmi Naib Canselor USM). Namun demikian, pelajar Desasiswa Cahaya Gemilang mula berbasikal dari Tasik Harapan dan berakhir di Anjung Jannatun.
“Saya berharap aktiviti santai alumni seperti ini dapat menjadi medan untuk menyatukan alumni supaya mereka dapat berkongsi idea sesama mereka yang kelak akan menyumbang kepada kebaikan universiti dan orang ramai,” menurut Mohamad Abdullah, Pengarah PPPA.
Presiden PAUSM, Mohamed Talhah Idrus berpendapat aktiviti seperti ini perlu untuk membina kekuatan di kalangan alumni USM yang kemudiannya akan menyumbang kembali kepada alma mater.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran Y. Bhg. Datin Noraizan Jamaludin, isteri Naib Canselor, Profesor Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa dan isteri. Teks: Siti Faizah Abd Halim/ Foto: Yong Check Yong.
- Created on .
- Hits: 2518