USM RANGKUL KEJUARAN KETIGA PESTA PANTUN BESTARI 2013
PULAU PINANG, 15 Apr. 2013 – Universiti Sains Malaysia (USM) mengekalkan kejuaraan dan menjulang Piala Pusingan Pesta Pantun Bestari buat kali ketiga berturut-turut, setelah menewaskan lawan tradisi, Universiti Islam Antarbangsa Malaysia (UIAM) di pentas final, baru-baru ini.
Mewarnai kejuaraan, kesemua pemantun USM turut cemerlang meraih gelaran pemantun terbaik daripada peringkat saringan, suku akhir, separuh akhir dan akhir. Pemantun terbaik keseluruhan dan final disandang oleh pemantun USM iaitu, Nor Fauziah Mohd Zain.
Menurut jurulatih pasukan pantun USM, Ezal Ezham Azami, kejuaraan kali ketiga yang dimenangi pada tahun ini membolehkan USM menyimpan dan mengekalkan terus piala di bumi USM kerana berjaya mempertahankan kejuaraan.
Katanya, kekuatan USM telah dinilai melalui bahasa dan isi yang dilafazkan pemantun, selain turut mendapat pujian juri kerana USM berjaya memurnikan dan menyuntik falsafah kemelayuan yang tinggi dalam bait-bait pantun.
``Pasukan pemantun USM melalui sesi latihan yang intensif dan ia telah bermula dua bulan lebih awal dari pertandingan berlangsung dengan dibantu oleh pensyarah dan pegawai USM yang berpengalaman,’’ ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya juga turut melahirkan rasa gembira dengan sokongan yang diberikan semua pihak termasuk Naib Canselor, Prof. Dato’ Omar Osman dan juga Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Prof. Adnan Hussein.
Dalam pada itu, pamantun-pemantun handalan USM dibarisi oleh Mohd Haafizzudin Md Amran @ Amran, pelajar tahun satu dari Pusat Pengajian Sains Komputer (PPSK), Nor Fauziah Mohd Zain (Tahun 4, PP Teknologi Industri), K. Vikneswaran (Tahun 4, PP Teknologi Industri) dan Nurfarahin Mohd. Nor (Tahun 1, PPSK).
- Created on .
- Hits: 2909