USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TAWARAN DWI IJAZAH DIBUKA

USM PULAU PINANG, 14 Oktober 2020 – Permohonan Program Dwi Ijazah Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) telah dibuka sehingga 23 Oktober 2020.

Program Dwi Ijazah merupakan program yang ditawarkan kepada pelajar penuh masa USM bagi pelajar tahun dua ke atas.

Menurut Penyelaras Program Dwi Ijazah yang juga Pensyarah PPPJJ USM, Dr. Mohd Asyraf Mansor, ijazah yang ditawarkan adalah ijazah yang sama tarafnya seperti ijazah sarjana muda di PPPJJ dan ijazah sarjana muda secara sepenuh masa di pusat-pusat pengajian lain di USM.

“Tawaran program Dwi Ijazah hanya diberikan kepada pelajar yang masih berdaftar sebagai pelajar penuh masa USM iaitu sebelum tamat pengajian dan berijazah serta mempunyai kelayakan kemasukan sekurang‐kurangnya PNGK 2.75 bagi program ijazah pertama yang sedang diikuti,” tambahnya lagi.

“Sejak diperkenal pada Sidang Akademik 2016/2017, tiga orang graduan telah dilahirkan dari program ini dan mereka ini telah berjaya dalam bidang masing-masing.

Misalnya saudara Tan Aik Sian yang bergraduasi pada tahun 2019 telah memiliki dua ijazah iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan (Kepujian). Kini beliau sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana di Pusat Pengajian Sains Kimia USM.

Begitu juga dengan saudara Selva Raw Devadas bergraduasi pada tahun yang sama dalam program utama Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) manakala program kedua ialah Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) major dalam bidang Biologi. Selva Raw kini bekerja di HSBC Bank sambil menyambung pengajian peringkat Sarjana di Kampus Kesihatan, USM dalam bidang Sains Forensik.

selva.jpg

Bagi graduan Sidang Akademik 2019/2020, Nur Elina Draz Khan, program Dwi Ijazah membantu memperluas peluang untuk mencari pekerjaan kerana kedua-dua bidang pengajiannya mempunyai skop kerja yang lebih besar.

Nur Elina bergraduasi dan telah menerima dua ijazah iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) (Perumahan, Bangunan dan Perancangan) (Senibina) dan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) (Biologi).

elina.png

“Program Dwi Ijazah ini telah berjaya membuka mata saya dan meluaskan ilmu yang saya pelajari yang tidak hanya berfokus kepada satu bidang sahaja.

“Di samping itu, program ini dapat membantu memperluas peluang saya semasa mencari pekerjaan serta dapat mengintegrasikan sesetengah ilmu yang saya pelajari dalam bidang Biologi ke dalam pembelajaran saya untuk bidang Senibina dan juga sebaliknya,” tambah Nur Elina yang kini masih mencari peluang pekerjaan selepas bergraduasi bulan lalu.

Pelajar yang berminat untuk mengikuti program Dwi Ijazah ini bolehlah mendapatkan borang permohonan dari pejabat PPPJJ atau laman sesawang PPPJJ di http://www.pppjj.usm.my .

Para pelajar juga boleh terus menghubungi Penyelaras Program Dwi Ijazah di talian 04-653 3935 atau emel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. .  

Teks: Nor Rafizah Md. Zain/Foto: Ehsan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh

  • Created on .
  • Hits: 1351

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024