USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HOSPITAL USM: HOSPITAL AWAM PERTAMA SEDIAKAN KEMUDAHAN VBS UNTUK DIAGNOSIS KANSER PAYUDARA

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 8 Oktober 2020 – Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan satu-satunya hospital awam yang menyediakan kemudahan mesin Ultrasound 3D atau lebih dikenali sebagai ultrasound berisipadu 'volumetric breast ultrasound' (VBS) yang merupakan teknologi paling mutakhir di Malaysia kini.

WhatsApp_Image_2020-10-14_at_6.47.35_AM.jpeg

Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr Ahmad Sukari Halim berkata, VBS adalah peralatan berteknologi moden terkini dalam melakukan diagnosis kanser payudara yang menunjukkan pertambahan kes dari setahun ke setahun.

WhatsApp_Image_2020-10-14_at_6.47.35_AM_1.jpeg

"Women’s Imaging Suite’ (WISH), Jabatan Radiologi Hospital USM mempunyai pelbagai fasiliti pengimejan payudara yang berteknologi terkini untuk melakukan diagnosis kanser payudara.

“Antara peralatan yang terdapat di WISH ialah mesin mamografi dengan teknologi 3D atau tomosintesis bersudut lebar (wide angle) yang lebih jitu dalam mengesan kanser.

“Sistem mamografi ini dilengkapi perisian ‘artificial intelligence’ mamografi iaitu bantuan teknologi berkomputer untuk mengesan kanser dengan cepat," ujarnya semasa menyampaikan ucapan dalam Majlis Perasmian Fasiliti Pengimejan Payudara Hospital USM, pada 3 Oktober lalu.

Tambah Sukari, selain mesin VBS, WISH juga memiliki mesin Ultrasound 2D yang khusus untuk pemeriksaan kanser payudara dan dilengkapi dengan fungsi elastografi dan pengimejan fusion.

"Mesin VBS adalah penyelesaian kepada masalah kelenjar payudara yang tebal (dense breast) dalam kalangan wanita Asia dan kajian menunjukkan bahawa gabungan mamografi dan VBS lebih jitu (more accurate) dalam mengesan kanser berbanding gabungan mamografi dan Ultrasound 2D," katanya lagi.

Menurut Sukari, terdapat 21,634 kes yang dikenal pasti dalam tempoh 2012 hingga 2016 berbanding 18,206 kes pada 2007 hingga 2011 dan peratusan kes kanser payudara sebanyak 34 peratus adalah paling tinggi antara kes kanser yang melibatkan golongan wanita.

"Mengikut statistik, peratus kadar 'survival' kanser payudara pada peringkat awal iaitu tahap 1 dan 2 adalah 80 peratus berbanding 25 peratus pada tahap 3 dan 4. 

“Secara purata, peratus kadar survival 5 tahun adalah 66.8 peratus dan mengikut laporan ‘Breast Screening in Developing Countries’ yang diterbitkan oleh majalah ‘Clinics 2017’, 60 peratus kematian disebabkan oleh kanser payudara berlaku di negara membangun," jelasnya.

Sukari turut berpesan agar lebih ramai masyarakat tampil membuat pemeriksaan awal mengesan kanser payudara untuk mengurangkan kadar kematian pembunuh utama kaum hawa.

“Prognosis untuk kanser payudara yang dikesan pada peringkat awal adalah jauh lebih baik dan ini dapat dicapai menerusi amalan pemeriksaan sendiri payudara (breast self-examination) dan pemeriksaan klinikal secara berkala,” ulas beliau lanjut.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II, Dato’ Dr. Selasawati Ghazali; Pengarah Bahagian Reproduksi Manusia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr. Mohd Azizuddin Mohd Yussof; Ketua Jabatan Radiologi Hospital USM, Profesor Madya Dr. Mohd Shafie Abdullah dan Penyelaras WISH, Profesor Madya Dr. Juhara Haron.

WhatsApp_Image_2020-10-14_at_6.47.35_AM_2.jpeg

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Muhd Zulkifli Zakaria

  • Created on .
  • Hits: 907

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024