USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NAIB CANSELOR TERIMA PINGAT JASA PENGAKAP

 

usmpengakap

PULAU PINANG, 15 APRIL 2013 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Prof. Dato’ Omar Osman diberi penghormatan apabila dianugerahkan Pingat Jasa Pengakap (P.J.P.) oleh Majlis Pengakap Malaysia kelmarin.

Pingat tersebut diberikan atas khidmat dan sumbangan beliau yang sentiasa membantu dalam pembangunan Pengakap bukan sahaja di peringkat negara tetapi di peringkat antarabangsa.

Menurut  Dato’ Paduka Hj. Abdul Shukor Mohsin, pingat ini diberikan kepada Naib Canselor atas keperihatinan beliau dalam memastikan segala aktiviti dan perancangan Pengakap Malaysia berada pada tahap yang diinginkan.

 usmpenga2

“Sememangnya Dato’ Omar Osman layak menerimanya atas keperihatinan beliau yang banyak melancarkan program dan aktiviti yang dilaksanakan oleh Pengakap terutamanya melibatkan Universiti Sains Malaysia,” kata beliau lagi.

Penyampaian pingat tersebut disempurnakan oleh Dato’ Seri Paduka Dr. Hj. Abd. Aziz Jamaludin Md. Tahir, Timbalan Pengerusi Majlis Pengakap Malaysia pada majlis penutup Kursus Pengurusan Asas Eksekutif Pengakap kali ke-49 di Dewan Utama Pelajar kelmarin.

Pada majlis yang sama, Prof. Dato’ Omar Osman turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan di atas penganugerahan pingat ini dan berharap segala bantuan dan sumbangan oleh Universiti dapat membantu membangunkan Pengakap Malaysia.

“USM tiada halangan dalam memberi khidmat dan kepakaran yang dimiliki kepada Majlis Pengakap Malaysia, juga kemudahan-kemudahan yang ada di USM sekiranya perlu akan pertimbangkan untuk tujuan aktiviti Pengakap,” kata Omar.

usmpenga1

Kursus tersebut melibatkan lebih daripada 150 orang peserta Pengakap dan penceramah dari 11 buah negara termasuk Singapura, Pakistan, Mongolia, India, Sri Lanka, Taiwan dll.

Turut hadir adalah Prof. Madya Abdul Rashid Mohamad, Penyelaras Pengakap peringkat IPTA yang juga Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Prof. Ahmad Tajuddin Othman, Pengarah Pusat Rancangan Ko-Kurikulum Kampus Induk dan barisan Eksekutif kehormat Majlis Pengakap Malaysia. Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 2806

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024