JEJAK WARISAN LENGGONG: USAHA BERTERUSAN USM PROMOSI TAPAK WARISAN DUNIA
LENGGONG, 15 APRIL 2013 – Usaha Universiti Sains Malaysia (USM) mempromosikan Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia diteruskan dengan jayanya setelah mendapat penyertaan lebih daripada 100 orang pelajar sekolah menengah di sekitar daerah Lenggong menyertai Explorace ‘Jejak Warisan Lenggong’ baru-baru ini.
Program yang dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Ahmad merupakan hasil inisiatif Pelajar tahun akhir, Bahagian Komunikasi Pemujukan, Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia.
Aktiviti ini merupakan kesinambungan dari Siri Penjelajahan High School Attack yang telah diadakan pada 19 dan 20 Mac lalu.
Menurut Lum Wai Quan, Pengarah Projek, Kempen Warisan Lenggong, antara tujuan utama program ini dijalankan adalah untuk mendidik dan mewujudkan kesedaran para generasi muda menghargai Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia di negara ini.
Lum Wai Quan berkata program ini bukan sahaja membantu para pelajar memperoleh pengetahuan dengan cara yang menghiburkan malah dapat memberikan pelbagai maklumat yang berguna berkaitan pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia.
“Rata-rata golongan muda di sini kurang mengetahui sejarah dan maklumat berkaitan Lenggong. Atas sebab itu, USM mengambil inisiatif ini bagi mendekati mereka supaya mereka dapat mendalami keunikan Lenggong itu sendiri agar menghargai warisan yang mereka miliki,” katanya lagi.
Antara sekolah yang mengambil bahagian adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Azlan Shah, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tan Sri Abdul Aziz.
Kemuncak kempen ini merupakan Majlis Penghargaan yang bertemakan ‘Sedetik Mengimbau Warisan’ yang akan berlangsung pada 4 Mei 2013 di Dewan Serbaguna Kota Tampan, Lenggong.
Maklumat lanjut boleh menghubungi Nurul Syazwannie Mohamad Saad, Ketua Bahagian Media dan Publisiti, Kempen Warisan Lenggong, di talian +6019-4283334 atau e-mel:
- Created on .
- Hits: 2759