PENDAFTARAN PELAJAR NORMA BAHARU – USM PRIHATIN, UTAMAKAN KESELAMATAN DAN KEBAJIKAN PELAJAR
NIBONG TEBAL, 4 Oktober 2020 – Pendaftaran pelajar baharu yang berlangsung dalam norma baharu di Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini jelas mempamerkan keprihatinan universiti akan keselamatan serta kebajikan pelajarnya.
Perkara ini adalah bertepatan seperti yang dinyatakan oleh Naib Canselornya, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan ketika sama-sama turun padang menyaksikan pendaftaran pelajar baharu sidang 2020/2021 di Kampus Kejuruteraan USM hari ini.
“Di dalam setiap situasi, fokus utama USM adalah untuk mengambil pendekatan dan penyelesaian yang rasional dalam memastikan semuanya berjalan lancar dan selamat terutama kepada pelajar kita sebelum, semasa mahupun selepas mendaftar,” kata beliau.
“Disebabkan itu, selain daripada mendaftar secara dalam talian kita masih memberikan tiga pilihan lain kepada mereka yang sudah dalam perjalanan ke kampus atau berada berdekatan kampus iaitu mendaftar di desasiswa dan pulang, mendaftar dan meninggalkan barang keperluan di desasiswa atau mendaftar dan terus menetap di desasiswa,” tambah Rafiq.
Malah, beliau turut meyakinkan ibu bapa dan semua pihak di luar sana bahawa USM tidak akan ambil mudah dalam mengendalikan isu-isu berkaitan keselamatan pelajar yang telah memilih untuk terus menetap di dalam kampus, apatah lagi dalam keadaan pandemik global yang mengancam kita semua ini.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Aldrin Abdullah pula menyifatkan kelancaran pendaftaran pelajar pada hari ini adalah hasil daripada kerja berpasukan serta perancangan bersama yang baik antara staf dan pelajar.
“Semua orang berpeluang untuk menyuarakan pendapat dan idea bernas sepanjang perbincangan yang telah diadakan sebelum ini.
“Hasilnya, walaupun dalam jangka waktu yang singkat dan kurangnya rehat setiap yang terlibat, kita berjaya menyambut kedatangan mereka yang telah membuat pilihan untuk hadir memandangkan kebajikan pelajar adalah keutamaan universiti,” kata Aldrin.
Daripada 713 jumlah keseluruhan pelajar baharu Kampus Kejuruteraan sidang ini, 27 orang hadir untuk sesi pendaftaran secara bersemuka manakala selebihnya melakukannya secara dalam talian dan ini termasuk seorang pelajar antarabangsa dari Iraq.
Daripada 27 orang tersebut pula, 11 memilih pilihan ketiga iaitu untuk mendaftar dan terus menetap di desasiswa.
Teks: Siti Faizah Abdul Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 953