TAPAK ARKEOLOGI SUNGAI BATU BERPOTENSI DIBANGUNKAN MENJADI TAPAK WARISAN DAN ARKEOPELANCONGAN NEGARA
SUNGAI PETANI, KEDAH, 3 Oktober 2020 – Nilai keunikan sejarah warisan, potensi arkeopelancongan dan kepopularan tapak tamadun tertua di Asia Tenggara, Tapak Arkeologi Sungai Batu telah mendorong Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri untuk mengadakan lawatan kerja ke tapak berkenaan di sini kelmarin.
Tapak berusia 2,600 tahun yang pertama kali diterokai oleh penyelidik dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM) diketuai Pengarahnya, Profesor Dato’ Dr. Mokhtar Saidin ini menjadi agenda utama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengenalpasti aspek pembangunan dan pelancongan yang boleh diteliti dan ditambahbaik untuk masa mendatang.
Ketika ditemui, Nancy berkata, hasil penyelidikan membuktikan tapak ini harus diutamakan oleh Kementeriannya dalam usaha mempromosikannya sebagai produk pelancongan utama di Kedah mahupun negara kerana ia merupakan tamadun tertua di Asia Tenggara dengan jumpaan tapak peleburan besi, tapak ritual, tapak pentadbiran dan jeti kuno seawal 788 sebelum Masihi, dan telah diwartakan pada 28 November 2017 sebagai warisan kebangsaan.
“Saya amat berbangga dengan pencapaian ini, termasuk usaha para penyelidik USM dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara membina pelbagai kemudahan sementara dan melindungi kawasan yang dipenuhi dengan pelbagai sejarah dan budaya bernilai buat negara," kata beliau.
Jelas Nancy lagi, menjadi hasrat MOTAC agar Tapak Arkeologi Sungai Batu yang diterokai USM itu menjadi satu tapak lokasi yang dinanti-nantikan pelancong untuk dilawati dan perbincangan telah dilakukan bersama USM dan Jabatan Warisan Negara agar tindakan proaktif diambil bagi mempromosi tapak tersebut sebagai produk utama pelancongan negara," katanya selepas sesi lawatan dan taklimat.
Tambah beliau lagi, Kementeriannya juga sedang di dalam proses menaiktaraf kemudahan dan prasarana di tapak tersebut supaya ia menjadi kompleks galeri terbuka yang moden, kondusif serta mesra pelancong dalam usaha menarik lebih ramai lagi pelancong tempatan melawat tapak arkeologi tersebut.
Beliau hadir bersama Exco Pelancongan, Seni dan Warisan negeri Kedah, Mohd Firdaus Ahmad; Ketua Setiausaha MOTAC, Dato' Dr. Noor Zari Hamat; Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Tn. Hj. Mesran Mohd Yusop; penyelidik-penyelidik PPAG USM dan pegawai-pegawai utama Kementerian.
Kata Nancy lagi, tapak ini sangat bernilai tinggi dan kerajaan perlu bertindak segera bagi memelihara dan memulihara warisan sejarah ini agar ia berfungsi sebagai agen kepada penyampaian maklumat buat generasi akan datang.
Sementara itu, Mokhtar berkata PPAG USM hingga kini masih menjalankan kerja-kerja ekskavasi dan masih banyak kawasan sedang dalam proses untuk diterokai.
“Ahli-ahli arkeologi USM sedang berusaha menggali lebih banyak struktur bagi melengkapkan penemuan sedia ada, dan kerjasama dengan pihak Kementerian amat kami alu-alukan bagi menyokong pembangunan penyelidikan di sini,” jelasnya.
Mokhtar juga mengharapkan tapak Sungai Batu ini dijadikan Lembah Warisan seperti yang disasarkan oleh Kementerian kerana banyak nilai keunikan sejarah yang boleh dikongsikan bersama semua lapisan masyarakat di negara ini.
Teks: Nurul Huda Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 3478