USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENDAFTARAN PANDU LALU BUKTI USM CAKNA KESELAMATAN PELAJAR

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 3 Oktober 2020 - Pelajar kemasukan Sidang Akademik 2020/2021 Universiti Sains Malaysia (USM) melalui pengalaman berbeza norma baharu apabila perlu melakukan pendaftaran secara pandu lalu di lokasi yang ditetapkan manakala ibu bapa atau ahli keluarga tidak dibenarkan turun dari kenderaan masing-masing.

Menurut Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Ahmad Sukari Halim, proses pendaftaran yang dilaksanakan pada hari ini adalah langkah proaktif yang diambil oleh pihak universiti bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang tidak diingini memandangkan penularan kes COVID-19 semakin meningkat.

prof_syukari.jpg

"Alhamdulillah proses pendaftaran pada pagi ini berjalan lancar dan saya terharu dengan kerjasama semua pihak walaupun pelbagai perubahan berlaku pada saat-saat akhir, namun itu tidak melemahkan semangat kita semua untuk memberikan yang terbaik kepada pelajar mendaftar serta ibu bapa yang datang menghantar anak-anak mereka.

"Walaupun pelajar dibenar menangguhkan pendaftaran bersemuka dan boleh mendaftarkan diri secara dalam talian, namun universiti tetap menerima pelajar yang datang mendaftar di kampus kerana mengambil kira pelbagai faktor terutama dari segi kos perjalanan apatah lagi bagi mereka yang kurang berkemampuan dan datang dari luar Kelantan," ujarnya yang ditemui semasa memantau proses pendaftaran, di sini.

2decca01 e5d1 429c a391 c1447db5bf63

Menurut Sukari, selaras dengan kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), USM mengambil pendekatan dengan memberikan tiga pilihan kepada pelajar yang datang ke kampus iaitu 'daftar dan balik', 'daftar dan tinggalkan barang di bilik' atau 'daftar dan kekal berada di desasiswa'.

Manakala bagi pelajar yang belum tiba di kampus, mereka boleh mendaftar secara dalam talian dan tunggu arahan serta maklumat dari Pusat Pengajian mengenai kaedah serta jadual pengajaran dan pembelajaran (PnP).

"Saya bagi pihak USM dan Kampus Kesihatan khususnya, berbesar hati menerima kehadiran semua, terima kasih kerana memilih USM dan mengharapkan semua pelajar baharu dapat melalui proses pembelajaran dengan baik walau di mana mereka berada buat masa ini sehingga wabak COVID-19 kembali reda, masing-masing boleh kembali ke kampus menjalani pembelajaran secara bersemuka seperti biasa dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Suka saya ingatkan kepada ibu bapa, anda tidak perlu risau keadaan anak-anak anda walaupun dengan situasi sekarang kerana sekiranya ada pelajar yang datang dari zon merah atau pelajar yang bergejala, mereka akan disaring oleh pasukan petugas perubatan di Klinik Saringan Infeksi (SRI)- Klinik Rawatan Keluarga (KRK) dan kami juga menyediakan pusat kuarantin bagi pelajar yang diarahkan untuk menjalani kuarantin," jelasnya lagi.

Sukari turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Jabatan Keselamatan, Unit Penginapan dan Perumahan Universiti, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset Universiti, Pusat Pengetahuan Komunikasi dan Teknologi, Pusat Media dan Perhubungan Awam, Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Majlis Penggawa Desasiswa Murni Nurani, Pembimbing Program Siswa Lestari serta semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung, yang telah bertungkus-lumus bagi memastikan proses pendaftaran berjalan lancar.

310569f8 bbeb 42e6 84ae 32334e145021

"Terima kasih 'frontliners' Kampus Kesihatan dan pastikan kita semua terus berjaga-jaga sepanjang menjalankan tugas," ujar beliau lanjut.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 887

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024