USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELITUP MUKA: KEPENTINGAN PENGURUSAN YANG BETUL ELAK PENULARAN WABAK DAN PENCEMARAN

KOTA BHARU, KELANTAN, 1 Oktober 2020 – Pelitup muka menjadi kemestian bagi semua orang yang berada di tempat awam pada masa kini memandangkan virus COVID-19 belum berakhir sepenuhnya.

Pada asasnya, pelitup muka digunakan dalam situasi tertentu seperti ketika udara tercemar, berjerebu atau penularan penyakit berjangkit.

Dalam situasi seperti hari ini, pelitup muka digunakan bagi menapis titisan halus yang keluar semasa bercakap, bersin atau batuk sebagai salah satu usaha mencegah dan membendung penularan virus kepada orang lain.

Pensyarah Program Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Nurulilyana Samsuddin berkata, pelitup muka terdiri daripada lapisan hidrofobik, hidrofilik dan penapis.

SAVE_20201002_214049.jpg

 

“Lapisan hidrofobik adalah kalis air yang kebiasaannya bewarna biru diperbuat daripada bahan sintetik bukan tenunan seperti lapisan kapas dan lapisan hidrofilik pula diperbuat daripada kapas, campuran kapas atau polipropilena yang membenarkan serapan air berlaku.

“Jika pelitup muka dipakai secara berterusan, kita digalakkan menukar setiap empat hingga enam jam atau setelah pelitup muka menjadi lembab bagi mengelakkan kuman tersebar kepada pemakai,” katanya ketika ditemubual di konti radio Kelantan FM.

Tambah Nurulilyana, terdapat tujuh langkah mudah yang boleh diamalkan dalam menguruskan pelitup muka yang telah digunakan bagi mengelakkan penularan virus.

"Sebelum menyentuh atau membuka pelitup muka, basuh tangan terlebih dahulu dengan sabun atau menggunakan cecair pembasmi kuman ‘hand sanitizer’.

Kedua, buka pelitup muka dengan hanya memegang tali atau memutuskan tali. Kemudian, lipat atau gulung pelitup muka ke arah dalam. Pastikan pelitup muka yang telah dilipat, diikat agar ia tidak diterbangkan angin.

Seterusnya balutkan dengan tisu atau kertas dan masukkan ke dalam beg plastik sebelum dibuang ke dalam tong sampah yang berplastik dan bertutup. Akhir sekali, pastikan anda membasuh tangan dengan sabun.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyarankan agar pelitup muka perlu disimpan dengan betul ketika hendak makan iaitu dengan meletakkannya di dalam beg plastik yang diikat dan sebelum dipakai semula, tangan perlulah dibersihkan dengan sabun terlebih dahulu," ujarnya.

Nurulilyana berkata, kebanyakan rakyat Malaysia tidak mematuhi langkah penyimpanan pelitup muka yang betul dan masih ada yang gemar meletakkan pelitup muka di dagu, disangkut pada sebelah telinga selain meletakkannya di atas meja. Tabiat sebegitu boleh menyebabkan kuman tersebar dan memudaratkan kesihatan si pemakai.

"Berdasarkan laporan terkini daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Malaysia berada pada kedudukan ke lapan dunia dalam carta negara yang paling banyak pencemaran plastik.

SAVE_20201002_212428.jpg

"Anggaran kasar mendapati dasar pemakaian pelitup muka berpotensi menambah sisa plastik yang tidak boleh dikitar semula sebanyak 62,000 tan, sisa tercemar 31,000 tan dan sisa pembungkusan plastik negara sebanyak 27,000 tan dalam tempoh setahun jika tabiat memakai pelitup muka pakai buang diteruskan," katanya lagi.

Jelas Nurulilyana, bagi melakukan pemusnahan pelitup muka yang bersistematik, kaedah pembakaran menggunakan insinerator juga boleh digunakan sepertimana cara pengurusan sisa klinikal yang menggunakan teknologi mengubah sisa ke tenaga (‘waste to energy’).

"Keadaan ini dilihat dapat diatasi sekiranya semua pihak memberikan kerjasama dalam memastikan cara penggunaan dan pengurusan pembuangan pelitup muka diuruskan dengan teratur serta mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh MKN sekaligus memutuskan rangkaian wabak COVID-19," ujar beliau lanjut.

Teks: Muhd Zulkifli Zakaria/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 1620

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024