USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KASIHNYA IBU, HANYA MAHUKAN YANG TERBAIK UNTUK ZURIATNYA

PULAU PINANG, 3 Oktober 2020 - Ibu ini telah memilih, hanya mahukan yang terbaik untuk anaknya dan sanggup meredah perjalanan sejauh lebih kurang 50 km dengan menunggang motosikal untuk menghantar anak sulungnya, Muhammad Izzulhaq Mohamed Hasnan, 19, ke Universiti Sains Malaysia (USM).

WhatsApp_Image_2020-10-03_at_20.48.29.jpeg

Jumiati Masud, 53, bersyukur kerana masih boleh membuat pilihan dalam memberikan keselesaan untuk anaknya menimba ilmu pengetahuan dalam suasana yang lebih kondusif, dan merasai suasana menjalani kehidupan baru sebagai mahasiswa Universiti.

Jumiati yang tinggal di Simpang Empat (Seberang Perai Selatan) berkata, beliau mengambil maklum dengan situasi semasa, yang mana USM memberikan tiga pilihan utama untuk para pelajar baharunya mendaftarkan diri secara rasmi sebagai warga kampus.

Pilihan berkenaan termasuk hadir mendaftar dan pulang bersama waris; hadir mendaftar, menempatkan barang dalam desasiswa dan pulang; atau mendaftar dan terus tinggal di asrama.

WhatsApp_Image_2020-10-03_at_20.48.29_1.jpeg

"Saya memilih untuk anak saya tinggal di asrama. Biarlah Muhammad Izzul belajar dalam suasana yang terbaik kerana jika di rumah, kemudahan internet tidaklah begitu baik dan kami tiada kemudahan wifi atau sebagainya," jelas ibu kepada tiga cahaya mata lelaki yang hanya menjual kuih sebagai punca pendapatan menyara keluarga.

Mengulas mengenai kegigihannya dan pengorbanannya meredah perjalanan yang agak jauh dengan motosikal, tambahan pula perlu menyeberangi Jambatan Pulau Pinang, jawabnya ringkas: "Semua ibu akan lakukan yang terbaik untuk anak-anaknya."

"Saya hanya mahu mereka untuk belajar bersungguh-sungguh dan jadi insan yang berguna. Saya juga bersyukur dan gembira kerana hasrat Muhammad Izzulhaq untuk melanjutkan pengajian di USM dalam jurusan pendidikan dimakbulkan Allah," ujarnya lagi.

Beliau juga bersyukur kerana anaknya diterima masuk ke USM kerana jaraknya tidak begitu jauh dari rumah, dan masih dalam negeri yang sama.

"Sebelum ini Muhammad Izzulhaq pernah menerima tawaran dari sebuah universiti di Kuala Lumpur namun kami terpaksa menolak kerana keadaan kewangan tidak mengizinkan," katanya sambil mengakui hanya motosikal sebagai pengangkutan utama mereka sekeluarga menjalankan urusan harian.

Sementara itu, Muhammad Izzulhaq ketika ditemubual turut menzahirkan rasa terharu dengan pengorbanan ibunya dan berazam untuk belajar bersungguh-sungguh untuk memberikan kesenangan kepada ibunya.

WhatsApp_Image_2020-10-03_at_20.48.29_2.jpeg

"Saya juga risau lihat ibu balik sendiri ke Simpang Empat. Namun terpaksa akur kerana ibu tekad dan sanggup bersusah-payah demi saya. Saya berdoa Allah permudahkan urusan saya untuk menuntut ilmu di USM," katanya yang mendapat keputusan cemerlang dengan PNGK 3.96 dari Kolej Matrikulasi Pulau Pinang.

Muhammad Izzulhaq mendapat jurusan Sarjana Muda Sains dengan Pendidikan dan ditempatkan di Desasiswa Restu.

Beliau adalah antara pelajar baharu USM yang mendaftar pada hari kedua sesi pendaftaran pandu lalu sidang akademik 2020/2021 di sini hari ini.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 11482

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024