USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MyDAFTAR@USM PERCEPAT PROSES PENDAFTARAN MASUK PELAJAR HANYA DALAM BEBERAPA SAAT

USM PULAU PINANG, 30 Sept 2020 - Dalam situasi pandemik COVID-19 masih menjadi ancaman kepada negara, semua proses kerja perlu dipercepatkan dengan bantuan teknologi yang ada.Hal ini termasuklah untuk proses pendaftaran masuk siswa-siswi baharu ke Universiti Sains Malaysia (USM) yang bermula 2 Oktober 2020.

Ketua projek MyDaftar@USM, Adnan Hamid, 52, menjelaskan idea untuk menghasilkan aplikasi ini tercetus bagi mengatasi masalah penggunaan terlalu banyak peralatan dalam beberapa aktiviti yang melibatkan pelajar.

Screen_Shot_2020-10-02_at_6.55.01_AM.png

Adnan adalah Ketua Teknologi Maklumat dan Ketua Seksyen (Aset dan Sokongan Teknikal) Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT)USM.

“PPKT bertanggungjawab menyediakan keperluan PC dan sokongan teknikal untuk aktiviti-aktiviti berkala yang dianjurkan yang memerlukan jumlah PC yang agak banyak seperti proses pendaftaran pelajar baharu dan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar,” kata Adnan.

Jelasnya, universiti perlu mencari pendekatan baharu yang lebih baik serta memanfaatkan inovasi terbaharu yang lebih menyenangkan, memudahkan dan mengikut peredaran teknologi terkini.

Adnan yang berkhidmat hampir 30 tahun di USM telah mendapat pelbagai anugerah termasuk pemenang tempat pertama Anugerah Malaysian Government Open Source Software (MyGOSS) 2012 Peringkat Kebangsaan  melalui penyertaan projek penyelidikan, pembangunan dan inovasi i-Care2x (Total Hospital Information System) anjuran Unit Pemodenan Tadbiran dan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri.

Menurut Adnan, antara kelebihan MyDaftar@USM ialah tempoh pendaftaran pelajar baharu menjadi lebih pantas dan lancar, iaitu hanya mengambil masa beberapa saat untuk mengimbas kod QR dan melakukan proses pendaftaran pelajar.

Screen_Shot_2020-10-02_at_6.55.18_AM.png

Inovasi ini melibatkan penggunaan peranti mudah alih (telefon pintar) yang boleh dibawa ke mana-mana sahaja dan boleh digunakan pada bila-bila masa serta menjimatkan masa dan juga tenaga kerja.

Malah aplikasi ini juga membolehkan proses pendaftaran dan capaian maklumat boleh dilakukan dengan lebih mudah di mana-mana sahaja lokasi yang ditetapkan melalui penggunaan peranti mudah alih (telefon pintar). Pendek kata ia merupakan aplikasi mudah alih yang lebih mudah dicapai dan mesra pengguna.

Aplikasi ini dibangunkan oleh pasukan 12 orang yang terdiri daripada 8 orang dari Bahagian Pembangunan Aplikasi, seorang dari Bahagian Rangkaian serta 2 orang dari Bahagian Aset dan Sokongan Teknikal dan diketuai sendiri oleh Adnan mengambil masa hampir 2 bulan (Ogos-September 2020) untuk menyiapkannya bagi kegunaan pendaftaran pelajar baharu secara pandu lalu sesuai dengan keperluan masa kini dan masa hadapan.

“Saya berharap untuk mencetus dan merealisasikan lebih banyak idea dan inovasi terbaharu yang boleh menjadi rujukan, peneraju dan penggerak utama teknologi ICT terkini terutamanya dalam kalangan warga kalangan Universiti Awam di Malaysia,” kata Adnan, anak kelahiran Butterworth yang merupakan bapa kepada tiga orang cahayamata.

Teks: Mohamad Abdullah 

  • Created on .
  • Hits: 1404

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024