TEKNOLOGI TERMAJU ROBOTIK 'CYBERDYNE' HARAPAN BAHARU PESAKIT KEHILANGAN UPAYA
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 28 September 2020 - Bermula dengan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 30 Ogos 2019, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terus berganding bagi memastikan Perkhidmatan Rehabilitasi Robotik di Hospital USM menjadi kenyataan.
Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dalam ucapan perasmiannya berkata, pemilihan Hospital USM sebagai salah satu hub pembangunan rehabilitasi merupakan peluang terbaik dalam mengembangkan perubatan berteknologi tinggi berasaskan robotik.
"Perkhidmatan Rehabilitasi Robotik HAL Cyberdyne Hospital USM mensasarkan pesakit terlantar akibat strok dan hilang keupayaan di negeri Kelantan serta pantai timur Semenanjung.
"USM merupakan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pertama di Malaysia yang berkolaborasi dengan PERKESO dalam menyediakan perkhidmatan rehabilitasi robotik bagi memulihkan pesakit-pesakit yang mengalami kecederaan saraf tunjang, kecederaan otak serta penyakit yang menyebabkan kelemahan anggota badan," katanya.
Faisal Rafiq menjelaskan, sebanyak enam unit alat robotik HAL iaitu 'Lower Limb', 'Lumbar' dan 'Single Joint' ditempatkan di Makmal Rehabilitasi Robotik Hospital USM yang telah dinaiktaraf dengan kos paling minimum dalam usaha merealisasikan perkhidmatan tersebut.
"Saya sangat teruja dengan apa yang terhasil kerana makmal yang mula beroperasi dan menerima pesakit pertama pada 8 September lalu dapat disiapkan dalam masa enam bulan selepas Memorandum Perjanjian (MoA) ditandatangani pada 3 Mac 2020.
"Perkhidmatan terbaharu ini adalah tambahan daripada perkhidmatan sedia ada di Hospital USM sebagai hospital pelopor rehabilitasi termasuk rawatan di dalam kolam renang kepada pesakit yang memerlukan," ujar beliau lagi.
Majlis perasmian makmal tersebut turut dihadiri oleh Ketua Eksekutif PERKESO, Dato' Sri Dr. Mohammed Azman Dato' Aziz Mohamed; Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Ahmad Sukari Halim; Penyelaras Unit Pembangunan Korporat Hospital USM, Profesor Dato' Dr. Abdul Rahman Izaini Ghani @ Ab Ghani; Penasihat Projek Perkhidmatan Rehabilitasi Robotik Hospital USM merangkap Pengerusi Bersama Kluster OKU USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin serta pegawai-pegawai utama universiti dan delegasi PERKESO.
Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 734