PRO-CANSELOR SARAN SEMAI BUDAYA MEMBERI
PULAU PINANG, 14 Apr.2013 - Pro-Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Dato’ Dr. M. Jegathesan menyarankan masyarakat kampus supaya berusaha untuk menanamkan budaya memberi dan mengurangkan budaya menerima.
Saranan itu dibuat dalam ucapannya ketika menyempurnakan pembukaan sidang pertama Upacara Konvokesyen Ke-47 USM yang berlangsung di sini semalam, dengan menyaksikan pengijazahan kepada 367 graduan ijazah tinggi, iaitu Sarjana dan Doktor Falsafah (Ph.D).
Katanya, kita seharusnya memberi ilmu yang dimiliki, memberikan buah fikiran dan tenaga untuk membangunkan bakat dan keupayaan yang ada serta menyumbangkan dana termampu untuk membantu institusi yang memerlukan termasuk untuk gedung ilmu kita sendiri.
``Budaya memberi jarang diperkatakan, namun jangan lupa bahawa ungkapan tangan yang memberi adalah lebih baik dari tangan yang menerima.
``Kemuliaan memberi akan membolehkan kita bersama-sama mensyukuri apa yang ada dan apa yang diberi selama ini termasuk nikmat kesenangan, kedamaian, kesejahteraan dan kebahagiaan yang diperoleh yang jarang dihargai,’’ katanya.
Tambah beliau, graduan turut disaran untuk mengamalkan cara hidup sihat dalam menjalankan kehidupan seharian dan menerapkannya dalam persekitaran termasuk bersama keluarga, rakan-rakan dan sebagainya.
Katanya, amaran pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terhadap peningkatan bilangan penghidap pelbagai penyakit kronik seharusnya tidak dipandang ringan dan diabaikan.
``Dianggarkan 270 juta orang Asia akan mati akibat ‘penyakit gaya hidup’ yang kronik dalam beberapa tahun kaan datang. Justeru kita harus ambil serius perkara ini dan mulakan cara hidup sihat melalui pemakanan dan aktiviti riadah,’’ katanya.
Dalam pada itu, sidang pertama turut membabitkan detik manis pasangan berasal dari Nigeria yang berkongsi kegembiraan meraikan detik berharga menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D.) dan Sarjana pada hari yang sama.
Adiat Kola Abdul–Nafiu memperoleh Ph.D manakala isterinya, Adiat Bolanle Taibat pula menerima Ijazah Sarjana dalam bidang Pendidikan. Kejayaan mereka turut diraikan tiga anak lelaki yang rata-ratanya membesar di negara ini.
Malah menurut Adiat Kola, anak sulungnya juga fasih berbahasa Melayu dan berupaya menuturkannya dalam loghat Pulau Pinang kerana telah terbiasa dengan persekitaran persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sungai Nibong.
``Saya gembira dengan kejayaan ini, apatah lagi disertai oleh isteri. Kami memang berharap untuk pulang ke Nigeria dan menabur bakti untuk pembangunan bidang pengajian tinggi di sana,’’ ujarnya yang telah berada di perantauan hampir empat tahun.
Isterinya, Adiat Bolanle pula berkata, Malaysia adalah sebuah destinasi untuk menyambung pengajian tinggi yang tepat kerana persekitarannya yang sejahtera dan harmoni walaupun mempunyai plebagai bangsa dan budaya.
Beliau yang turut boleh berbahasa Melayu dengan baik juga berkata, sepanjang berada di USM, beliau menyertai pelbagai aktiviti kampus dan turut aktif dalam program-program yang dianjurkan oleh Pusat Islam USM.
``Saya mengenali ramai orang di sini dan gembira dengan kemesraan yang mereka tunjukkan. Pengalaman di USM adalah yang terbaik dalam hidup kami,’’ ujarnya sambil berkongsi pengalaman unik kerana secara kebetulan mereka turut diselia oleh dua pensyarah USM yang juga sepasang suami isteri. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1769