USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, ROXHANA VENTURES METERAI PERJANJIAN GERAN PENYELIDIKAN INOVASI SERBUK TULANG ANGSA

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 September 2020 - Universiti Sains Malaysia (USM) dan Roxhana Ventures Sdn Bhd hari ini menjalin kerjasama pintar melalui Memorandum Perjanjian (MoA) bagi geran penyelidikan inovasi bertajuk ‘The Effects Of Goose Bone On Fracture Healing In Rabbit Model’ atau kesan penggunaan serbuk tulang angsa bagi penyembuhan patah tulang pada model arnab.

Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, USM amat mengalu-alukan kerjasama dengan pihak industri dalam menjalankan penyelidikan inovasi seperti ini.

SAVE 20200927 170606

“Ramai yang menyangka fakulti pergigian di universiti hanya menawarkan khidmat pemeriksaan dan diagnosis pergigian sahaja sedangkan bidang pergigian amat luas dengan kepelbagaian kepakaran.

“Pusat Pengajian Sains Pergigian (PPSG) USM sebagai contoh, merupakan IPTA ketiga di Malaysia yang menawarkan pengajian bidang pergigian pada tahun 1988 selepas Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia dan ia merupakan yang pertama di pantai timur,” ujarnya semasa menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.

Menurut Faisal Rafiq, selain bidang kepakaran pergigian, PPSG juga memiliki kepakaran dalam bidang anatomi, biomaterial, pengimejan kraniofasial, biologi molekular, genetik, kesihatan keluarga, kesihatan awam perubatan, nutrisi, farmakologi dan fisiologi.

“Bagi mereka yang kehilangan hidung, mata atau telinga akibat kemalangan jalan raya atau kanser, PPSG memiliki pakar prostesis maksilofasial. Di samping gigi palsu, mereka juga boleh menghasilkan mata, hidung serta telinga palsu dengan kerjasama Juruteknologi Makmal Pergigian.

“Adalah menjadi tanggungjawab USM sebagai salah sebuah universiti penyelidikan untuk membantu industri kecil dan sederhana (PKS) dan saya percaya perjanjian antara USM dan Roxhana Ventures Sdn Bhd adalah permulaan untuk kerjasama yang lebih besar pada masa akan datang,” jelasnya lagi.

Faisal Rafiq turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Roxhana Ventures Sdn Bhd kerana memilih USM untuk menjalankan penyelidikan diketuai oleh Dr. Johari Abdullah.

SAVE 20200927 170556

Sementara itu, Pengasas Roxhana Ventures Sdn Bhd, Roxhana Omar pula berkata, beliau berharap agar kajian ini dapat membuktikan secara saintifik keberkesanan serbuk tulang angsa dalam merawat penyakit.

“Impian saya ingin membantu seluruh rakyat Malaysia dalam meningkatkan tahap kesihatan mereka dari terus menderita menanggung kesakitan dengan melalui proses pemulihan yang lebih cepat,” katanya.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman.

  • Created on .
  • Hits: 859

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024