PERKASA TANGGUNGJAWAB PTU BANTU UNIVERSITI AUTOMASIKAN PROSES KERJA UNTUK PENJIMATAN KEWANGAN
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 27 September 2020 - Pegawai-pegawai Tadbir Universiti (PTU) Universiti Sains Malaysia (USM) digesa memperkasa peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam membantu universiti mengharungi kesan pandemik Covid-19 yang dijangka berterusan untuk suatu tempoh yang tidak dapat dijangkakan.
Pendaftar USM, Dr. Musa Ali membuat gesaan tersebut sewaktu perjumpaan bersama PTU Kampus Kesihatan USM hari ini.
Menurutnya, PTU perlu menjadi penggerak di peringkat Pusat-pusat Pengajian dan Pusat-pusat Tanggungjawab (PTJ), khususnya untuk melaksanakan langkah-langkah penjimatan kewangan.
"Kerajaan dijangka mengurangkan peruntukan emolumen staf mulai tahun hadapan, selain belanja mengurus yang kini tidak disalurkan langsung dan bergantung sepenuhnya kepada pendapatan USM.
"Sokongan industri serta rangkaian global, khususnya dalam bentuk dana sokongan penyelidikan dijangka menurun memandangkan pihak terbabit juga terkesan dengan impak Covid-19 dan mereka dijangka menggunakan sumber yang ada untuk tujuan pemulihan," ujarnya.
Sehubungan itu, Musa menggesa PTU memainkan peranan aktif untuk mencadang serta memantau pelaksanaan pelan penjimatan di segenap peringkat dengan fokus di PTJ masing-masing.
"PTU antara lain diseru agar memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat untuk automasi proses kerja yang bersesuaian selain disarankan lebih proaktif membantu Ketua PTJ membuat pertimbangan semua aktiviti melibatkan kewangan dengan mengambil kira kaedah 'cost recovery' dan faedah kewangan kepada universiti.
"Universiti mensasarkan lebih banyak tugasan manual boleh digantikan dengan aplikasi teknologi, seterusnya menggalakkan pengurangan pergantungan kepada manusia pada masa hadapan," jelasnya lagi.
Turut hadir dalam perjumpaan tersebut ialah Timbalan Pendaftar Kanan, Jabatan Pendaftar Kampus Kesihatan, Yusoff Abdullah serta Pegawai-pegawai Tadbir Kampus Kesihatan.
Teks & Foto: Amyrulhan Azhari
- Created on .
- Hits: 677