PROGRAM LATIHAN PEKERJAAN OKU INTELEK USM PLATFORM LALUAN KERJAYA
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 22 September 2020 - Unit Transformasi Orang Kurang Upaya (OKU), Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkasakan golongan OKU melalui programVT@USM.
Program ini dilihat mampu mengubah status OKU intelek daripada liabiliti kepada produktiviti seterusnya mengubah persepsi dan stigma masyarakat terhadap OKU.
Pengerusi bersama Kluster OKU, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin berkata, USM berperanan menghasil dan menyebarkan ilmu dalam pelbagai bidang.
“Ini terbukti apabila Unit Transformasi OKU berjaya menghasilkan modul latihan pekerjaan intelek dan usaha pemindahan ilmu tersebut dilaksanakan dengan penggunaan modul ini oleh semua Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Kelantan.
“Program Latihan Pekerjaan OKU Intelek turut mendapat kerjasama erat antara agensi kerajaan terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Perkeso yang mana JKM telibat secara langsung melalui PDK dan juga sistem ‘Job Coach’ manakala JTK dan Perkeso pula menjadi penghubung kepada para majikan dan syarikat yang memerlukan pekerja terutama golongan OKU,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian TOT, Program Latihan Pekerjaan OKU Intelek USM 2020.
Tambah beliau, USM juga turut mempunyai kakitangan yang terdiri daripada golongan OKU seramai 12.5 peratus.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah Bahagian OKU dan Warga Emas, JKM Kelantan, Dr. Rosmairani Aziz; Pengarah Pusat Sehenti Transformasi OKU, Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK)-USM, Profesor Madya Dr. Mohamed Saat Ismail; Ketua Unit Transformasi OKU, PPSK USM, Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim dan Pengerusi-pengerusi PDK Negeri Kelantan.
Teks: Mohd Hafiz Ya’acob/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 812