USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DARI SISA MAKANAN KEPADA DEDAK AYAM PROBIOTIK, INOVASI USM HASILKAN DAGING AYAM BEBAS ANTIBIOTIK

PULAU PINANG, 27 September 2020 - Adakah anda mengetahui kebanyakan daging ayam yang dijual di pasar dan pasaraya mengandungi antibiotik yang mampu merosakkan kesihatan manusia?

Itulah ‘risiko tersembunyi’ dihadapi oleh penggemar daging ayam di negara ini yang tidak menyedari bahayanya antibiotik (pada tubuh manusia) yang diletakkan pada makanan ayam daging bagi mempercepatkan proses pembesaran dan kesihatan ayam.

ayam3

Atas sebab itu, Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan agenda inovasi untuk kelestarian komuniti apabila penyelidikan yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik dari Pusat Pengajian Teknologi Industri USM, berjaya menghasilkan dedak ayam berprobiotik tinggi diproses dari sisa makanan terbuang.

Ini sekaligus bermakna dedak yang dimakan oleh ayam tersebut menghasilkan daging bebas antibiotik, lebih segar dan berkualiti tinggi, ditambah pula dengan nutrisi terhasil secara semulajadi yang diperlukan pada tubuh manusia.

Menurut ketua penyelidik, Profesor Dr. Husnul Azan Tajaruddinpensyarah di Pusat Pengajian Teknologi Industri USM, inisiatif beliau dan rakan penyelidik bagi menghasilkan dedak ayam berprobiotik tinggi ini adalah disebabkan pemerhatiannya kepada peningkatan bilangan pesakit buah pinggang yang memerlukan dialisis di negara ini berpunca daripada bebanan buah pinggang untuk memproses antibiotik pada daging ayam yang dimakan.

ayam1

“Kita sedia maklum antibiotik adalah merbahaya kepada tubuh manusia sekiranya diambil tanpa pengawasan pakar perubatan dan kita juga mengetahui manfaat probiotik kepada sistem tubuh dan imunisasi manusia.

“Tetapi itulah hakikatnya ayam yang dijual di pasaran sekarang menggunakan antibiotik pada makanannya kerana ia mampu memberi kesihatan yang baik, ‘anti-stress’ pada ayam dan mempercepatkan proses pembesaran ayam dengan hanya mengambil masa 40 hari sebelum dijual,” jelas beliau.

Tambah Husnul Azan, melalui kajian yang dibuat selama empat tahun, sisa-sisa makanan yang diproses secara saintifik bagi menghasilkan dedak ayam berprobiotik tinggi ini apabila diberi kepada ayam, daging yang terhasil mempunyai kualiti yang jauh lebih baik, bernutrisi tinggi dan yang penting bebas daripada antibiotik.

“Probiotik mengandungi bakteria baik (bermanfaat) mesra usus yang juga memberikan kesan anti-stres pada ayam, tumbesaran yang cepat dan kesihatan ayam yang lebih baik daripada penggunaan antibiotik.

“Melalui kajian yang dibuat, daging ayam berprobiotik mempunyai kandungan protein dan karbohidrat yang lebih tinggi serta lemak yang baik untuk kesihatan manusia. Ini termasuklah kandungan beta-carotene yang boleh didapati pada sayuran, tomato dan lobak merah turut dijumpai pada daging tersebut, jadi ia amat bermanfaat pada kesihatan manusia,” jelas beliau lagi.

Beliau turut membuat kajian terhadap kualiti kedua-dua jenis daging tersebut yang disimpan dalam tempoh 2 minggu, dan didapati terdapat perbezaan yang ketara.

“Selepas dua minggu disimpan dan dibekukan, perbezaan ketara dapat dilihat pada daging ayam komersial apabila ia bertukar pucat dan tidak segar, tetapi daging ayam yang diberi makan dedak probiotik, masih kekal merah dan segar disebabkan mengandungi beta-carotene,” kata beliau lagi.

Projek penyelidikan beliau bertajuk “Conversion of Food Waste via Two-Stage Fermentation to Controllable Chicken Feed Nutrients by Local Isolated Microorganism” itu telah merangkul pengiktirafan antarabangsa apabila dianugerahkan Anugerah Khas ‘Croatia Inova’ dan pingat perak pada pertandingan Malaysia Technology Expo (MTE) 2020, Februari lalu.

Mengulas berkenaan kerjasama industri yang telah diadakan bagi memajukan produk tersebut, beliau berkata sehingga kini beberapa buah syarikat telah menjalinkan usaha sama iaitu E-Idaman Sdn. Bhd. dan Al-Ansar Sdn. Bhd. yang bertanggungjawab membekalkan sisa-sisa makanan terbuang dari Perlis sehingga ke Perak Utara.

“Pihak kami tidak pernah putus dengan sisa makanan terbuang dan sehingga kini sejumlah 1 tan sisa makanan telah diproses untuk dijadikan dedak ayam berprobiotik.

Apa yang menarik adalah harganya jauh lebih murah daripada dedak ayam komersial dengan hanya membabitkan kos operasi berharga RM0.43 sen/kilogram, dan dijual hanya pada RM1.00/kilogram.

ayam2

“Terdapat juga beberapa buah syarikat ingin dibekalkan sehingga 150 kilogram setiap hari, tetapi kita tidak mampu atas kekangan tertentuia mungkin boleh dilaksanakan setelah mendapat kelulusan perlesenan dan kerjasama beberapa syarikat bagi tujuan pengeluaran dan komersial,” jelasnya lagi.

Di akhir temubual, Husnul Azan berkata, pihak USM boleh membantu dari segi konsultasi untuk syarikat-syarikat yang berminat ingin menjalin kerjasama mengeluarkan dedak probiotik tersebut, dan ia tertakluk kepada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Universiti.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar 

  • Created on .
  • Hits: 2433

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024