USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MAKMAL PENYELIDIKAN JANTUNG USM-ALPS: HASIL KERJASAMA STRATEGIK AKADEMIA-INDUSTRI

BERTAM, 24 September 2020 - Penyakit jantung adalah pembunuh utama rakyat Malaysia yang telah meragut lebih daripada 18,000 nyawa pada tahun 2018.  

Hanya 50% pesakit yang mengalami kegagalan jantung terselamat dari maut setelah 5 tahun mendapat diagnosis dan jumlahnya semakin menurun kepada 20% dalam masa 10 tahun.

Mengkaji penyakit jantung dan mencari kaedah rawatan terbaik adalah sangat penting dalam usaha untuk meningkatkan tahap pemulihan dan kualiti hidup pesakit.

Buat masa ini, makmal kajian jantung di Malaysia kebanyakannya memfokuskan kepada penyakit jantung dan kajian klinikal dengan bantuan teknologi kejuruteraan alat sokongan perubatan, manakala penyelidikan tentang aspek sel dan molekul penyakit jantung di negara ini sering terabai.

Menyedari tentang kepentingan penyelidikan penyakit jantung, Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) mengambil inisiatif mengadakan kerjasama dengan industri dalam mewujudkan sebuah makmal yang memfokuskan kepada penyakit jantung.  

Makmal Penyelidikan Jantung USM-ALPS ini adalah hasil kerjasama strategik yang dijalin bersama syarikat ALPS Global Holding Bhd.

Dr. Tan Jun Jie, Pensyarah Universiti IPPT yang juga pakar perunding saintifik kunjungan kepada ALPS Global Holding Bhd. adalah antara yang berperanan penting dalam menjayakan projek makmal gabungan penyelidikan jantung USM-ALPS ini.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, makmal ini berperanan dalam menyediakan platform yang hebat untuk para pemain industri dan ahli akademik untuk bekerjasama dengan menggabungkan semua sumber yang dapat dikongsi bersama.   

WhatsApp_Image_2020-09-27_at_23.42.26_1.jpeg

“Dengan ini, pelbagai inovasi rawatan dapat dihasilkan untuk merawat penyakit pembunuh ini dan seterusnya dapat melonjakkan penyelidikan translasional dengan teknologi canggih generasi akan datang.  

USM amat berterima kasih kepada ALPS Global Holding kerana telah menempatkan peralatan canggih mereka di makmal ini dan ia memudahkan aktiviti penyelidikan jantung untuk dijalankan,” katanya ketika hadir merasmikan makmal tersebut di sini baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, USM sedang merangka kerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) bagi mewujudkan IJN wilayah utara yang akan ditempatkan di IPPT Bertam.

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ALPS Global Holding Bhd., Dato’ Seri Dr. Tham Seng Kong dalam ucapannya pula melahirkan rasa bersyukur dan amat gembira dengan kerjasama yang telah dijalinkan dengan pihak IPPT.  

WhatsApp_Image_2020-09-27_at_23.42.26.jpeg

Tambah beliau lagi, adalah menjadi tanggungjawab bersama selaku pihak industri untuk menyumbang kepada institusi pendidikan tinggi khasnya dan juga masyarakat amnya.

Sementara itu, menurut Pengarah IPPT, Profesor Dr. Syed Azhar Syed Sulaiman, kardiovaskular adalah bidang tujahan baharu dalam perancangan strategik masa hadapan IPPT.

WhatsApp_Image_2020-09-27_at_23.42.25.jpeg

Terkini IPPT telah pun mempunyai ahli radiologi dengan subkepakaran pengimejan kardiologi dan pakar perubatan dalaman kardiologi yang akan tamat latihan subkepakaran tahun hadapan,” katanya.

Kardiovaskular adalah salah satu 'niche area' IPPT di bawah Kluster Perubatan Regeneratif, dan kita sedang berusaha untuk memperkembangkan bidang niche ini.     

USM juga sebelum ini telah menjalin kerjasama menerusi pemeteraian MoA dengan Zhengzhou 7th People Hospital di China untuk latihan dan penyelidikan dalam bidang kardiologi asas dan klinikal,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian tersebut.

Turut hadir, Bendahari USM, Kamarul Ariffin Ngah; Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Jaringan IPPT, Dr. Hasni Arsad; Timbalan Pengarah Klinikal dan Kelestarian IPPT, Dr. Noor Khairiah A. Karim; dan ketua-ketua kluster IPPT.

Teks: Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid/Foto: Norizan Ishak

  • Created on .
  • Hits: 1226

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024