USM RAI HARI FARMASI SEDUNIA BERMULA 25 SEPTEMBER 2020 HINGGA 2 OKTOBER 2020
USM PULAU PINANG, 25 September 2020 - Bermula dari keperluan ubatan, seterusnya kajian dan penemuan, penciptaan ubatan, regulatori dan akhirnya ubat sampai dengan selamat kepada pesakit melalui doktor yang merawat, di situlah hadirnya ahli farmasi bagi setiap ‘proses’ atau fasa tersebut.
Tujuannya adalah satu, memastikan pesakit mendapat ubatan yang tepat, berkesan, selamat, dan berkualiti seterusnya menatijahkan kehidupan yang baik untuk masyarakat.
Tema Hari Farmasi Sedunia yang dipilih oleh International Pharmaceutical Federation (FIP) pada tahun 2020 adalah “Transforming Global Health” iaitu Transformasi Kesihatan Global.
MenurutPresiden FIP, Dominique Jordan, tema ini dipilih bertujuan untuk menunjukkan bagaimana profesion farmasi menyumbang kepada dunia di mana semua orang mendapat manfaat daripada akses ubat-ubatan dan teknologi kesihatan yang selamat, berkesan, berkualiti dan berpatutan serta dari sudut perkhidmatan penjagaan farmaseutikal.
Jika diamati dan difahami tema pada tahun ini, peranan profesion farmasi amat diperlukan dan signifikan dalam sektor kesihatan dan pendidikan khususnya.
Peranan profesion farmasi bukan sahaja dalam sesi kaunseling yang mengajar cara penggunaan ubatan yang betul, malah lebih dari itu, iaitu profesion farmasi perlu aktif dalam kalangan masyarakat menasihati tentang gaya hidup yang sihat, keperluan dan kebaikan vaksinasi sebagai mencegah penyakit, serta melatih dan melahirkan pelapis-pelapis muda ahli farmasi yang kompeten bagi memenuhi keperluan dalam masyarakat.
Oleh itu, Hari Farmasi Sedunia peringkat USM pada tahun ini disambut dengan program Sambutan Minggu Farmasi Peringkat USM yang berlangsung pada 25 September hingga 2 Oktober 2020 ini.
Objektif sambutan ini adalah antaranya mengetengahkan kepelbagaian peranan farmasi di USM dengan memaparkan perkhidmatan farmasi yang ditawarkan di Hospital USM, Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF), Pusat Sejahtera (Pusat Perubatan dan Pergigian), Pusat Racun Negara (PRN) dan Institut Perubatan Dan Pergigian Termaju (IPPT) di Bertam.
Selaras dengan norma baharu sebagai akibat daripada pandemik Covid-19, sambutan tahun ini dibuat secara pendidikan awam melalui platform digital.
Sepanjang sambutan, terdapat maklumat kesihatan berkaitan Farmasi yang akan dikongsikan. Sebaran maklumat ini diakhiri dengan kuiz kefahaman yang akan menyediakan hadiah-hadiah yang menarik.
Justeru, diharapkan Sambutan Minggu Farmasi Peringkat USM ini dapat membawa manfaat kepada semua.
Salam perkenalan buat semua warga USM, tontonlah video yang disertakan ini untuk mengenali kami.
https://youtu.be/hSbpqQYrbEE
TRANSFORMASI KESIHATAN GLOBAL
SEKRETARIAT SAMBUTAN MINGGU FARMASI 2020 PERINGKAT USM
- Created on .
- Hits: 1986