USM-SANRU DIJANGKA BANGUNKAN PENYELIDIKAN BERIMPAK TINGGI
PULAU PINANG, 9 Apr.2013 - Universiti Sains Malaysia (USM) dan Sari University of Agricultural Sciences and Natural Resources (SANRU), Iran dijangka dapat membangunkan penyelidikan bersama dalam bidang keselamatan makanan dan sumber asli pada masa depan.
Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman berkata, harapan itu disertai dengan objektif khusus untuk melihat satu penyelidikan yang komprehensif dan memberi impak dapat dijalankan melalui kepakaran yang dimiliki kedua-dua institusi rentas negara tersebut.
Katanya, USM dan SANRU masing-masing mempunyai akademia tersohor yang pakar dalam bidang masing-masing, yang dilihat menjadi pemangkin kepada satu kerjasam lebih kukuh untuk peningkatan pencapaian bidang ilmu pengetahuan di peringkat global.
``Kita berharap USM dan SANRU juga dapat memberi tumpuan kepada pengurusan dalam keselamatan makanan untuk meningkatkan kemahiran teknologi dan penyelidikan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat di seluruh dunia,’’ ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan penganjuran 2nd Seminar on Sustainable Agriculture and Natural Resources, satu platform perbincangan berkenaan cabaran dan isu-isu terkini berkaitan keselamatan makanan dan pemeliharaan sumber-sumber semulajadi di sini hari ini.
Turut hadir ialah wakil Naib Canselor SANRU, Dr. Sayedali Jafarpour Khozaghi dan Dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Prof. Madya Dr. Ahmad Sofiman Othman.
Tambah Omar, USM tidak hanya menumpukan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi terkemuka semata-mata, sebaliknya turut melihat kepada rkana-rakan strategik yang mungkin baru pada kewujudannya namun mempunyai kepakaran khusus yang dapat dimanfaatkan.
Dalam konteks SANRU, walaupun baru ditubuhkan namun mereka mempunyai kepakaran khas dalam niche area termasuk sains pertanian dan sumber-sumber asli dan SANRU pada asalnya adalah sebuah fakulti yang kini dibesarkan menjadi sebuah universiti.
``Kepakaran yang mereka miliki amat berguna kepada institusi seperti USM dalam tempoh jangka masa panjang kerana kerjasama seumpama ini berpotensi untuk menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi dan holistik,’’ ujar beliau.
Sementara itu, seminar sehari kali kedua dianjurkan selepas yang pertama di Iran tahun lalu menghimpunkan ratusan peserta dengan pembentangan lebih 70 kertas kerja meliputi pelbagai topik dalam bidang berkaitan.
Seminar yang bertemakan Strategies For Food Security Through Innovative Development ini turut bertujuan menjadi platform perbincangan mengenai strategi-strategi untuk keselamatan makanan melalui pembangunan inovatif.
Para peserta turut melihat dan mengadakan diskusi ilmiah berkaitan situasi semasa pengeluaran makanan dunia yang dilihat semakin membimbangkan dan tampil dengan inovasi serta idea yang dapat membantu dunia menyelesaikan permasalahan global tersebut. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md. Isa.
- Created on .
- Hits: 2191