PLOGGING@USM: PNC, MPRC DAN PPKS GANDING BAHU BERSIHKAN KAMPUS
PULAU PINANG, 15 September 2020 – Aktiviti beriadah sambil mengutip sampah atau 'plogging' bukan lagi perkara baharu dalam masyarakat kini dan ia merupakan salah satu aktiviti yang semakin mendapat perhatian kerana bukan sahaja memberikan faedah kepada kesihatan tetapi juga kesedaran menjaga alam sekitar.
Susulan itu Pejabat Naib Canselor (PNC), Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) dan Pejabat Pembangunan Korporat Strategik (PPKS) mengambil inisiatif bagi melakukan plogging bagi membersihkan persekitaran kampus induk USM di sini petang ini.
Bertemakan 'Let's Go Plogging: Run and Clean,’ sejumlah 50 orang staf ketiga-tiga PTJ hadir bersama menjayakan aktiviti ini yang melibatkan larian santai sambil mengutip sampah di sepanjang jalan sekitar kampus, bermula di foyer Bangunan Canselori 1 yang dilepaskan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan.
Ketika ditemui Naib Canselor berkata, aktiviti seperti ini selain berfokuskan riadah dan mengutip sampah, ia jugà bertujuan untuk menyampaikan mesej kepada komuniti kampus mahupun di luar kampus mengenai kepentingan bekerjasama di antara semua pihak dalam usaha mengekalkan tahap kebersihan dan ekosistem persekitaran yang baik di negara ini.
Sementara itu, Setiausaha kepada Naib Canselor, Rodhiyah Ali berkata, beliau gembira dapat menyertai aktiviti berfaedah seperti ini kerana ia bukan sahaja mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara warga staf dari PTJ-PTJ yang terlibat, bahkan membolehkan mereka menikmati keindahan alam semulajadi dan kehijauan sekitar kampus induk USM yang sering dikenali dengan nama Universiti Di Dalam Taman.
Turut hadir ke program tersebut, Naib Canselor USM bersama keluarganya; Pengarah Pembangunan Korporat Strategik, Hj. Muhamad Sabri Said; Ketua Sains@Alor Setar, Profesor Madya Ts. Dr. Muhammad Izzuddin Syakir Ishak; dan Timbalan Pendaftar PNC, Mohd Rashid Abdul Rejab.
Teks: Nurul Huda Abdullah/Foto: Shahnizam Ab. Rahim
- Created on .
- Hits: 917