USM TERIMA KEMASUKAN PELAJAR PALAPES, KETATKAN SOP COVID-19
USM PULAU PINANG, 15 September 2020 - Kampus Induk Universiti Sains Malaysia (USM) kelmarin menerima kembali kehadiran pelajarnya bermula dengan pelajar daripada Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) untuk meneruskan latihan.
Menurut Timbalan Komandan PALAPES USM, Ts. Dr. Shahrizal Nazri, seramai 191 orang pelajar telah berdaftar untuk masuk ke kampus bagi meneruskan latihan dan setiap daripada mereka disaring dan dikuarantin dengan bantuan Pusat Sejahtera USM.
“Setiap pelatih perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan aktiviti melibatkan pentadbiran sahaja dengan pemakaian pelitup muka (facemask) sepanjang masa selain daripada menjaga penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan dengan air ataupun cecair pembasmi kuman,” katanya.
Tambahnya lagi, latihan yang akan dilakukan adalah seperti biasa kelak dalam norma baharu serta pelatih perlu patuhi SOP, pada masa sama menunaikan keperluan latihan untuk melayakkan mereka tamat latihan dan ditauliahkan sebagai pegawai muda pasukan simpanan persekutuan.
“Saya ingin memanjangkan nasihat kepada semua untuk melaksanakan latihan dengan penuh disiplin dan mengutamakan keperluan akademik dan pengajian masing-masing,” ujarnya.
Latihan PALAPES USM ini berkepentingan untuk melengkapkan jumlah jam dan silibus latihan tersebut yang tertangguh pada suku tahun ini akibat penularan wabak Covid-19 yang menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan serta universiti menghentikan operasinya dan pelajar diarahkan pulang.
Latihan kali ini bermula pada 14 September 2020 dan berakhir pada 1 Oktober 2020.
Baru-baru ini USM telah menerima lantikan Komandan baharunya iaitu Naib Canselor, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Ebrahim Abdul Manan
- Created on .
- Hits: 1433