USM SUMBANG PAKAR PENDIDIKAN DALAM TALIAN, BIMBING ANAK YATIM KE ARAH KECEMERLANGAN AKADEMIK
GEORGE TOWN, PULAU PINANG, 13 September 2020 – Peranan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi memperkasakan agenda golongan terkebawah sentiasa diberi keutamaan dengan pelancaran program Advance Guidance Education System (AGES@USM), iaitu program yang memberi bimbingan pendidikan secara dalam talian khas buat anak-anak yatim Islam negeri Pulau Pinang.
Bimbingan dalam talian yang melibatkan tenaga pakar dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), USM itu bakal memperlihatkan sejumlah 47 orang murid terpilih yang terdiri daripada anak-anak yatim lelaki dan perempuan dari Wisma Yatim Islam Pulau Pinang menerima sebuah tablet dan pendidikan percuma dalam konteks berfokuskan kecemerlangan akademik secara dalam talian.
Menurut Pengarah Jaringan Komuniti, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM, Syed Yusof Syed Kechik, program AGES@USM dimulakan pada tahun 2006 dan ia melibatkan kolaborasi bersama Persekutuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Pulau Pinang dan Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG).
“Antara matlamatnya adalah untuk membolehkan golongan yang memerlukan ini mendapat bimbingan ke arah kecemerlangan akademik termasuk bimbingan untuk menyiapkan kerja sekolah dan teknik menjawab peperiksaan yang efektif.
“AGES@USM menyediakan platform untuk membimbing murid menerusi pendekatan coaching dan mentor-mentee secara dalam talian, yang selama ini didapati amat berkesan.
“Ia turut memberi fokus kepada anak-anak yatim yang akan menghadapi peperiksaan UPSR, PT3 dan SPM dengan memberi peluang kepada mereka menyertai pelbagai aktiviti motivasi, akademik, kepimpinan dan bengkel teknik menjawab soalan khas,” katanya di majlis pelancaran program tersebut yang diadakan di Dewan Wisma Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang di sini baru-baru ini.
Syed Yusof hadir mewakili Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan.
Jelas beliau lagi, inisiatif ini merupakan salah satu cara USM bagi memasyarakatkan ilmu agar ia tidak hanya berada dalam lingkungan universiti tetapi mampu menjadi agen kepada perubahan dalam komuniti.
”Terima kasih kepada PEMENANG di bawah kelolaan Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Hj. Mohd Yusoff Latiff yang memberikan kerjasama baik bagi menjayakan program ini dan menggerakkan inisiatif demi kelangsungan anak-anak yatim Islam Pulau Pinang agar lebih cemerlang dalam pendidikan,” katanya.
Tambah Syed Yusof, beliau berharap dengan peluang pendidikan era norma baharu masa kini, mereka dapat menghargai dan berusaha sehingga berjaya seterusnya memberikan kehidupan yang lebih baik kepada diri masing-masing pada masa akan datang selain memberi sumbangan kepada bangsa dan negara.
Pada majlis yang sama, Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Hj. Mohd Yusoff Latiff, yang juga Yang Di-Pertua Persekutuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Pulau Pinang merangkap Presiden PEMENANG berkata, program AGES@USM ini merupakan program berstruktur yang julung-julung kali diperkenalkan kepada anak-anak yatim Islam Pulau Pinang ini dan sejumlah RM50,000 telah diperuntukkan oleh PEMENANG bagi menaja pembelian tablet setiap seorang demi kemudahan pembelajaran teknologi ICT.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, USM yang telah mengambil inisiatif memperkenalkan program ini demi kemajuan anak bangsa yang memerlukan di negeri ini, dan sesungguhnya bantuan kepakaran dari USM pada masa mendatang amat diharapkan oleh pihak saya bagi bersama-sama menjayakan usaha murni seperti ini,” katanya pada majlis tersebut.
Beliau turut berharap anak-anak yatim ini dapat memanfaatkan tablet yang diberikan bagi tujuan pembelajaran dan pendidikan secara dalam talian sambil dikawal selia oleh pihak USM melalui aplikasi-aplikasi khas yang disediakan supaya mereka dapat mengikuti pelajaran dengan lebih bersistematik.
Turut hadir, Dekan PPIP USM merangkap Ketua Projek AGES@USM, Profesor Madya Dr. Shaik Abdul Malik Mohamed Ismail; barisan majlis tertinggi PEMENANG dan pensyarah-pensyarah PPIP USM.
Teks: Zamzami Rasidi/Foto: Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 1017