PAKISTAN IKTIRAF USM: PASUKAN ARKEOLOGI DITAWAR KE GANDHARA
PULAU PINANG, 8 Apr.2013 – Kepakaran penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) diiktiraf oleh Pakistan apabila USM ditawar dan dibenarkan menjalankan kajian arkeologi di Tapak Arkeologi Gandhara, Peshawar, Pakistan.
Perkara itu diumumkan dalam sidang media khas sempena majlis penandatanganan memorandum perjanjian (MoA) dengan University of Peshawar (UoP) di sini baru-baru ini.
Pemangku Naib Canselor, Prof. Ahmad Shukri Mustapa Kamal berkata, tawaran kepada USM dibuat setelah Pakistan melalui UoP melihat rekod kecemerlangan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) setelah 26 tahun menjalankan pelbagai kajian saintifik dalam bidang arkeologi.
Katanya, pengiktirafan tersebut turut membolehkan PPAG USM menjalankan eksplorasi lebih menyeluruh di Gandhara, satu tapak arkeologi yang sangat dikenali dan menjadi buruan untuk diteroka oleh pakar-pakar arkeologi dari seluruh dunia.
``Pengiktirafan ini turut menjadi kebanggaan USM dan juga negara. Kita menjadi antara negara dan universiti terpilih yang dibenarkan menjalankan kajian di tapak arkeologi paling penting di negara tersebut,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas masjlis penandatanganan MoA berkenaan. Turut hadir ialah Naib Canselor UoP, Prof. Dr. Muhammad Rasul Jan dan Pengarah Institut of Archaeology and Social Anthropology UoP, Prof. Dr. M. Nasim Khan.
Dalam pada itu, Pengarah PPAG USM, Prof. Dr. Mokhtar Saidin pula berkata, USM ditawarkan untuk menyertai projek arkeologi “ The Gandhara Landscape & Chronology: Exploring The Earliset Shaiva Shrine At Kashmir Smast Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan.
``Kapakaran kita dalam menjalankan kajian pentarikhan, pengenalan kepada alat-alat kuno dan sebagainya amat diperlukan dalam kajian tersebut. Kita juga bakal memperoleh manfaat melalui kepakara UoP khususnya dalam mentafsir tulisan awal,’’ ujarnya.
Tambah Mokhtar, projek tiga tahun itu antara lain akan memfokuskan kepada kajian arkeologi Makam Hindu di Kashmir Smast dan penempatan Buddha di kawasan Aziz Dheri, Pakistan.
Katanya, kajian di tapak arkeologi yang turut menjadi tempat penemuan The Great Water Tank itu turut meliputi topografi, pemetaan, ekskavasi dan sebagainya.
``Pasukan penyelidik USM dijangka akan berlepas ke Peshawar untuk memulakan kajian pada Jun depan,’’ katanya sambil memaklumkan penerbitan berkaitan kajian tersebut dijangka akan diterbitkan pada tahun 2016.
Dalam pada itu, MoA yang ditandatangan turut berperanan sebagai platform untuk kedua-dua pihak memperoleh manfaat bersama dalam bidang arkeologi melalui penawaran program pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), pengajuran persidangan/seminar/bengkel, perkongsian dalam pembangunan penyelidikan dan sebagainya. Teks: Marziana Mohamed Abdullah/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 2266