USM, DDMAN SDN. BHD. JALIN KERJSAMA PERKUKUH SILIBUS KURSUS BAHARU SAINS KOMPUTER
USM PULAU PINANG, 9 September 2020 - Pusat Pengajian Sains Komputer (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan usahanya untuk menjalinkan kerjasama akademik dan penyelidikan dengan syarikat swasta, kali ini dengan DDMan Sdn. Bhd., sebuah firma penyedia penyelesaian teknologi automotif, melalui perjanjian persefahaman (MoU) yang telah dimeterai hari ini di sini.
USM diwakili oleh Dekan PPSK, Profesor Dr. Bahari Belaton manakala DDMan diwakili oleh Pengurus Besarnya, Bronson Tan.
Perjanjian persefahaman ini bakal menyaksikan pelajar-pelajar PPSK diberi pendedahan dan peluang untuk menyelesaikan sebahagian kecil masalah perindustrian sebenar dalam set-up makmal, di samping menonjolkan bakat mereka untuk dipilih menjalani latihan industri (internship) di DDMan.
Menurut Bahari, PPSK akan memperkenalkan silibus kursus baharu CPC Computer Vision and Robotics (Penglihatan Komputer dan Robotik) untuk pelajar prasiswazah yang berada di tahun 3.
“Demi memperkukuh silibus kursus tersebut, sebuah makmal yang dilengkapi peralatan berkaitan yang sesuai akan disediakan di PPSK untuk mengajar pendekatan secara hands-on bagi kedua-dua aplikasi penglihatan komputer dan robotik.
“Pendekatan ini memerlukan kepakaran DDMan dalam penyediaan teknologi terbenam dan penyisipan masalah perindustrian sebenar di dalam silibus kursus tersebut,” katanya.
Tambah Bahari lagi, PPSK amat berbesar hati dapat berkolaborasi dengan DDMan dalam memperkukuhkan program akademiknya dengan teknologi terbenam ini supaya pelajar apabila bergraduat nanti sudah memiliki ilmu dan kemahiran menyelesaikan masalah perindustrian sebenar.
Bronson Tan dalam ucapannya pula berkata, melalui kerjasama ini, DDMan akan menaja enam unit peralatan seperti yang dipersetujui dalam perjanjian untuk memperlengkapkan makmal baharu di PPSK itu.
“Saya percaya dengan tersedianya makmal ini, pelajar dapat memanfaatkannya untuk meninjau dan menyelesaikan masalah perindustrian dengan lebih berkesan sejajar dengan tuntutan permintaan dan keperluan Industri 4.0.
“Diharap juga peralatan yang disumbangkan itu dapat digunakan oleh pelajar tahun akhir untuk projek mereka dan pelajar latihan industri PPSK,” katanya.
DDMan Sdn. Bhd. adalah firma reka bentuk, penyelidikan danpembangunan yang mengkhusus dalam penawaran penyelesaian teknologi termaju produk elektronik bagi industri automotif di peringkat antarabangsa.
Ditubuhkan pada tahun 2007, DDMan mempunyai pejabat operasinya di Pulau Pinang.
Teks: Zamzami Rasidi/Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 924