USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ULANG TAHUN KE-37 TERBINANYA MASJID AL-MALIK KHALID USM, TERPAHAT PELBAGAI MEMORI BUAT WARGA KAMPUS

23592085 1916427188397821 3555637326699173423 o

PULAU PINANG, 8 September 2020 – Selamat menyambut hari ulang tahun ke-37 Masjid Al-Malik Khalid Universiti Sains Malaysia (USM).

Itulah antara ucapan warga kampus USM buat masjid ini yang amat berjasa kepada masyarakat di dalam kampus mahupun sekitarnya apabila terbina di peta kampus USM Pulau Pinang pada tanggal 2 September 1983, sekaligus menyemarakkan pembangunan syiar Islam di USM.

Jika mengimbau kembali nostalgia sejarah pembinaan Masjid Al-Malik Khalid, ia telah mula didirikan pada awal tahun 1981 dan dinamakan Masjid Al-Malik Khalid sebagai menghargai jasa baik Raja Al-Malik Khalid yang merupakan pemerintah kerajaan Arab Saudi ketiga yang menyumbangkan sebahagian besar kos pembiayaan masjid ini.

Pembinaan masjid ini yang mengambil masa selama dua tahun, akhirnya siap terbina sekitar pertengahan tahun 1983 dan tarikh keramat 2 September 1983 menjadi detik bersejarah buat USM apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada masa tersebut, Sultan Ahmad Shah al-Musta’in Billah Ibni al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin al-Muádzam Shah berangkat tiba sudi memperkenankan penyempurnaan Masjid Al-Malik Khalid USM.

Turut hadir kenamaan pada majlis istiadat perasmian itu ialah Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tengku Hajjah Afzan Binti Tengku Mohammad; Pro-Canselor USM pada ketika itu iaitu D.Y.M.M. Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah, dan D.Y.T.M. Raja Nazrin Shah, Raja Muda Perak.

Gabungan seni bina tradisional tempatan dengan seni bina Islam di Asia Barat

76714005 3393133457393846 3117733931445649408 o

Timbalan Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Zayd Zhari ketika ditemui sempat berkongsi beberapa intipati penting mengenai sejarah Masjid Al-Malik Khalid yang mungkin dalam kalangan warga kampus tidak mengetahui susun galur sejarah tersebut untuk dikongsikan buat tatapan umum.

Menurut beliau, masjid ini pada awalnya dinamakan sebagai Kompleks Balai Islam yang kemudiannya dinaikkan taraf sebagai Pusat Islam, USM sehingga kini.

“Pembinaan dan penghayatan masjid ini adalah berdasarkan konsep Masjid Quba’ yang diasaskan oleh Rasulullah S.A.W. iaitu menjadi institusi ibadah dan pembangunan insan yang mulia dan bersepadu untuk mencapai kecemerlangan di dunia dan kebahagiaan di akhirat,” katanya.

Berkongsi mengenai sejarah tercetusnya idea reka bentuk Masjid Al-Malik Khalid, Zayd berkata reka bentuk ini adalah hasil rekaan Fawziah Lukas, Dekan Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan USM ketika itu yang bertugas sebagai arkitek di Akar Architects, Design, dan Research Consultants, Kuala Lumpur.

“Beliau telah menghasilkan sebuah reka bentuk yang menggabungkan seni bina tradisional tempatan dengan seni bina Islam yang terdapat di Asia Barat.

Hasilnya lahirlah reka bentuk bumbung yang curam dan bertingkat-tingkat, dihiasi pula dengan kubah-kubah keemasan dan sebuah menara setinggi 150 kaki,” kata Zayd lagi.

Jelas beliau gabungan demikian menampakkan keindahan dan kemegahan seni budaya tradisional Malaysia, selain memelihara warisan seni bina Islam yang lazimnya dapat dilihat pada bangunan-bangunan masjid di Asia Barat.

“Manakala keluasan dewan solat bawah yang dibina adalah seluas 8,262 kaki persegi yang mampu memuatkan jemaah seramai 1,100 orang dalam satu masa, seterusnya dewan solat atas yang berkeluasan 6,642 kaki persegi dapat memuatkan seramai 600 orang Jemaah dalam satu masa,” jelas Zayd lagi.

ef3f2adb 7166 49f3 bed0 978d8b25781c

Tempat diadakan pelbagai majlis besar peringkat universiti dan negeri

Ketika ditanya antara majlis-majlis besar yang telah diadakan, Zayd Zhari berkata sudah semestinya pelbagai majlis telah diadakan di dalam masjid ini sejak 1983 termasuklah kehadiran ramai kenamaan yang hadir bagi merasmikan majlis yang dianjurkan oleh Pusat Islam, dan jika ingin dikongsikan cukup banyak untuk disenaraikan.

Antara majlis besar terkini yang telah dilaksanakan oleh pihak Pusat Islam USM sebelum terjadinya serangan wabak Covid-19 ini adalah Majlis Sambutan Maal Hijrah dan Maulidur Rasul 1441H peringkat USM pada 31 Oktober 2019/ 3 Rabiulawal 1441H yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dato' Ir. Hj. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, dengan kehadiran Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan; Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria; Pengarah Pusat Islam USM, Tuan Hj. Ustaz Mohammad Shukri Osman, serta jemputan yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan, kakitangan USM, pelajar serta anak qaryah Masjid Al Malik Khalid,” jelas Zayd lagi.

Dalam majlis itu juga, Pusat Islam USM turut melancarkan Projek Wakaf Karpet Masjid Al-Malik Khalid USM yang juga mendapat sokongan daripada Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinangbertujuan menggantikan karpet sedia ada bagi keselesaan para jemaah menjalani ibadah. Projek itu menelan belanja sebanyak RM700 ribu.

106272662 4264104840296699 6459350363450004652 o

Tempat dijalankan program harian keagamaan dan program bantuan komuniti

“Masjid juga tidak pernah lekang dengan pelbagai program harian keagamaan seperti khutbah Jumaat yang disampaikan oleh kakitangan profesional dan akademik, tadarus Al-Quran selepas solat zohor, Kuliah Maghrib, Kelas Pengajian Al-Quran dan Tajwid Dewasa.

Zayd menambah, selain turut mengadakan program bantuan komuniti yang dilaksanakan oleh Masjid Al-Malik Khalid di peringkat tempatan, masjid turut mengambil inisiatif menganjurkan program menyantuni komuniti luar negara seperti yang terkini pada tahun lalu iaitu bantuan sumbangan Kit Maidaturrahman untuk penduduk miskin di Pattani, Thailand.

Ketika ditanya bagaimana nilai keterbukaan yang diamalkan oleh pihak masjid menyantuni warga kampus atau masyarakat luar yang bukan beragama Islam, beliau berkata Masjid Al-Malik Khalid merupakan masjid dwifungsi iaitu berperanan sebagai masjid qaryah dan masjid institusi.

Kehadiran jemaah masjid meliputi pelbagai jenis lapisan masyarakat dan bersempena dengan itu masjid mengambil inisiatif mengadakan program ‘Mosque Tour Week’ yang diadakan setiap tahun bagi memperkenalkan masjid USM sebagai ‘Penang Pyramid Mosque’ dalam sektor pelancongan di Pulau Pinang.

“Program ini bagi menarik minat warga asing atau masyarakat bukan Islam boleh hadir ke masjid membuat sesi lawatan dan mengenali masjid dengan lebih dekat.

Lawatan ini boleh dihadiri semua lapisan masyarakat dan disediakan jubah pelawat untuk dipakai oleh pelawat sebelum memasuki ke dalam masjid.

Pelbagai wacana dan pengisian bersama komuniti bukan Islam juga diadakan bagi menghidupkan keharmonian silang budaya masyarakat setempat khususnya di Masjid Al-Malik Khalid itu sendiri,” jelasnya lagi.

Keprihatinan terhadap pelajar, staf dan masyarakat sekitar yang memerlukan bantuan

Sebelum mengakhiri temubual, Zayd Zhari turut menyatakan keprihatinan dalam memberikan apa juga bantuan yang diperlukan kepada pelajar dan masyarakat khususnya kategori B40 yang merupakan fokus utama masjid bagi tujuan meringankan beban mereka terutamanya sekarang ini negara berdepan wabak Covid-19.

“Atas sebab itulah Masjid Al-Malik Khalid memperkenalkan ‘Kit Maidaturrahman’ iaitu bantuan yang diletakkan dalam kotak khas yang merangkumi barangan asas sara hidup iaitu minyak, beras, sos, kicap, gula, garam, uncang teh dan juga kopi.

Orang awam atau warga kampus turut sama boleh memberi sumbangan sebanyak RM50 bagi setiap satu nilai harga ‘Kit Maidaturrahman’ tersebut,” jelas beliau lagi.

Tambah Zayd lagi, Kit Maidaturrahman ini diberikan ketika program ihya’ Ramadhan dan juga program bantuan sara hidup berikutan wabak Covid-19 yang melanda negara kita sekarang ini untuk diberikan kepada golongan B40 anak-anak qaryah, warga kampus, dan juga pelajar.

Selain itu, dari sudut kebajikan pengurusan jenazah juga diberikan secara percuma tanpa sebarang bayaran terhadap anak-anak qaryah dan juga warga kampus USM.

Maklumat lanjut berkenaan apa juga perkhidmatan dan bantuan yang disediakan oleh pihak Masjid Al-Malik Khalid USM, warga kampus dan masyarakat luar sekitarnya boleh menghubungi talian am Pusat Islam USM: +604-6533753 atau e-mel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar  Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 2732

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024