SEJAHTERA WALK PUPUK BUDAYA GAYA HIDUP SIHAT
PULAU PINANG, April 2013 – Pelajar tahun akhir Komunikasi Pemujukan, Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui projek ADWAVE 2013 telah bekerjasama dengan Pusat Sejahtera USM menganjurkan program khas Sejahtera Walk baru-baru ini bagi menggalakkan warga kampus untuk berjalan bersama-sama di sekitar kawasan kampus.
Program tersebut yang bertemakan ‘Stop The Talk, Have A Walk’ bertujuan memupuk dan juga meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga kampus USM tentang betapa pentingnya untuk mengamalkan aktiviti berjalan setiap hari demi gaya hidup yang sihat.
Dalam ucapan sebelum bermulanya acara tersebut, Prof. Adnan Hussein, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM, berkata selain memupuk budaya gaya hidup sihat, sambil berjalan-jalan, warga kampus juga dapat berpeluang berinteraksi dan bertukar-tukar maklumat semasa tentang hal-hal yang berkaitan dengan kesihatan di samping menikmati kehijauan dan keindahan persekitaran kampus USM.
“Saya percaya aktiviti Sejahtera Walk ini sangat memberi manfaat peribadi kepada semua dan dengan ini saya menyeru semua warga kampus untuk terus mengambil bahagian dalam Sejahtera Walk ini pada minggu-minggu akan datang. Jadikan berjalan sebagai rutin harian anda atau sekurang-kurangnya pada setiap hari Rabu dengan menyertai Sejahtera Walk ini.” kata Adnan.
Sementara itu, Dr. Nurulain Bayanuddin Abdullah, Pengarah Pusat Sejahtera USM, berkata berjalan merupakan kaedah senaman yang memberikan impak yang rendah kepada individu tetapi membolehkan seseorang itu mencapai tahap kecergasan yang lebih tinggi dan keadaan kesihatan yang lebih baik.
“Berjalan adalah salah satu cara yang paling mudah untuk bersenam dan tidak memerlukan sebarang kos malah dengan berjalan kaki sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari, pelbagai manfaat kesihatan dapat diperoleh termasuk pengurangan risiko keadaan kesihatan tertentu seperti tekanan darah tinggi dan penyakit jantung, pengurangan kemurungan, di samping membantu kita untuk tidur dengan lebih baik,” kata Nurulain.
Seramai 450 orang pelajar dan staf USM telah menyertai Sejahtera Walk tersebut, berjalan bersama-sama dengan Profesor Adnan Hussein, Profesor Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato' See Ching Mey, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, En. N. Vijayan Kumar Nambiar, Penolong Pengarah Ketua Pejabat Belia dan Sukan Daerah Timur Laut, Pulau Pinang, Prof. Madya Dr. Jamilah Hj Ahmad, Dekan Pusat Pengajian Komunikasi USM, Pn. Kamaliah Hj Siarap, Penasihat ADWAVE 2013 dan Cik Koh May Rui, Pengarah ADWAVE 2013.
Acara tersebut yang diadakan sempena Sambutan Minggu Kesihatan Kampus Induk USM dari 1 – 5 April 2013, telah mengambil masa 45 minit mengikut laluan sekitar kampus yang bermula dari Pusat Sejahtera USM dan berakhir di Stadium Olahraga USM.
- Created on .
- Hits: 2598