USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TEKAD TERUSKAN AGENDA PERKASA GOLONGAN MEMERLUKAN

528648a0 6ec7 4e24 a3e5 ec239946b67c

DATO KERAMAT, PULAU PINANG, 7 September 2020 - Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan kesinambungannya dalam menjaga kebajikan golongan yang memerlukan apabila menyantuni Umairah Batrieysa Abd. Aziz, 7 tahun, hari ini di sini dengan penyerahan bantuan sebuah kerusi roda bernilai RM15,000.

Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Dr. Mohd Zulkifli Abdul Rahim yang juga merupakan Ketua Projek Modifikasi Khas Kerusi Roda itu, semoga kerusi roda ini dapat memudahkan penjagaan adik Umairah dan meningkatkan kualiti hidup mereka sekeluarga.

“Projek ini adalah salah satu daripada rangkaian projek memperkasa OKU yang dijalankan oleh Unit Transformasi OKU, PPSK,” jelasnya.

ec77385f ad3a 421f b381 1c231bc5a09d

Tambahnya ketika mengulas lanjut, Projek Modifikasi Khas Kerusi Roda ini adalah projek kerjasama antara USM dan Rajanagarindra Institute of Child Development (RICD), yang dimulakan sejak tahun 2013 dan ia adalah susulan Memorandum Persefahaman (MoU) antara USM dan RICD hasil inisiatif Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM.

Menghidap cerebral palsy (sakit saraf) sejak lahir, Umairah bergantung kepada kerusi roda untuk meneruskan kehidupan dan lebih sayu, ayahnya merupakan seorang pekebun sekolah manakala ibunya seorang pekerja kantin sekolah hilang punca pendapatan akibat pandemik COVID-19.

f366f09d e166 4297 bc38 923030e56dc8

Kini Umairah dijaga oleh datuk dan neneknya dan kedua-dua mereka tidak bekerja dan hanya mengusahakan gerai makan yang kini tidak dikunjungi pelanggan dan terpaksa berhenti beroperasi buat sementara dan mengharap hasil sumbangan rakan yang simpati.

Umairah yang menghidap komplikasi sejak lahir dan dilahirkan tidak cukup bulan, kini hanya mempunyai berat badan sekitar 15 kilogram dan perlu dipantau setiap masa kerana hanya bergantung kepada susu, bukannya makanan pejal.

Datuk Umairah yang menghidap penyakit jantung hanya menerima pencen sebanyak RM500 sebulan manakala Umairah mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 secara bulanan.

Datuk dan nenek Umairah mempunyai 11 cucu dan 1 cicit dan mereka menanggung 11 orang yang tinggal di dalam rumah mereka yang didiami sekarang, yang merupakan rumah pusaka peninggalan keluarga.

dbf7fc11 eed1 418f a0ad b9cfac435bc8

Sementara itu, ahli-ahli USM Bikers seramai 30 orang yang merupakan agen penggerak bagi misi kali ini telah berjaya mengutip sumbangan peribadi daripada ahlinya yang berjumlah RM1,130 serta tambahan bahan keperluan harian iaitu lampin pakai buang, susu dan Kit Maidaturrahman.

Menurut Presiden USM Bikers, Zulkifli Che Hussin, sesuai dengan penubuhannya, USM Bikers sebagai pasukan pelaksana program amal unik sebegini secara tidak langsung memperlihatkan sumbangan universiti kepada masyarakat yang memerlukan justeru meringankan beban mereka sesuai dengan jolokan motto pasukan yang mempunyai ahlinya seramai lebih 300 penunggang ini iaitu “Janji Ada Moto Kita Dakwah”.

df9a7773 34cf 45bb 8417 b0c94dfd3adf

“Saya menyifatkan penglibatan staf dalam program sebegini mampu memberi impak sosial kepada komuniti dan masyarakat malah staf akan merasa keterlibatan mereka lebih dihargai dalam penyaluran bantuan,” katanya, yang berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Staf di Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar USM.

Program kali ini merupakan program amal kedua bagi tahun 2020 selepas program sulungnya yang berlangsung Julai lepas di rumah anak yatim Sik Kedah.

Terdahulu program hasil rencanaan Pejabat Pendaftar ini menyaksikan seluruh ahli USM Bikers berkumpul di perkarangan Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) sebelum pergerakan bermula ke lokasi dituju iaitu Jalan Gopeng, Dato Keramat Pulau Pinang.

f80cbe14 1b96 4fc6 a8e9 aa1a0a8e8567

Turut hadir ke program ini ialah Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato’ Dr. Awang Adek Hussin; Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan; Pendaftar yang merupakan Penasihat USM Bikers, Dr. Haji Musa Ali; Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria; dan Pengarah BJIM, Tuan Syed Yusof Syed Kechik.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1200

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024