USM-JMG METERAI PERSEFAHAMAN BANGUNKAN LEMBAH LENGGONG SEBAGAI GEOPARK KEBANGSAAN
LENGGONG, PERAK, 7 September 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus diberi kepercayaan bagi membangunkan sosioekonomi dan nilai warisan negara apabila menjadi pilihan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) untuk berkolaborasi memperkasakan kajian saintifik di Lembah Lenggong bagi memastikan lokasi warisan tersebut diangkat sebagai Geopark Kebangsaan di negara ini.
Melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai di antara USM dan JMG, kedua-dua pihak akan bekerjasama merencanakan perancangan strategik bagi memastikan tercapainya aspirasi kerajaan negeri Perak mendapat pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Geopark Kebangsaan di negara ini seterusnya UNESCO dalam beberapa tahun akan datang.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, usaha ini akan melibatkan kepakaran empat Pusat Tanggungjawab (PTJ) USM yang bakal berganding bahu bersama JMG bagi merealisasikan matlamat tersebut iaitu Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Pusat Pengajian Sains Fizik dan Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS).
“Gandingan keempat-empat PTJ ini bakal memfokuskan kajian lebih mendalam aspek geologi, geofizik, kejuruteraan sumber mineral, geokimia, sains samudera dan geologi warisan di Lembah Lenggong bagi mengumpul maklumat dan kriteria yang diperlukan bersama JMG dalam usaha mengangkat lokasi warisan tersebut sebagai Geopark Kebangsaan,” katanya ketika hadir mewakili Naib Canselor bagi pertukaran dokumen persefahaman di antara USM dan JMG di Seminar Aspirasi Lenggong Geopark yang dirasmikan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dato’ Dr. Shamsul Anuar Hj. Nasarah, di sini hari ini.
Jelas beliau lagi, USM sentiasa bersedia berkongsi apa juga kepakaran dimiliki kepada pihak yang ingin memperkasakan sosioekonomi dan nilai warisan di negara ini, apatah lagi dengan pembabitan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM yang telah sekian lama menjalankan penyelidikan di Lembah Lenggong sehingga menemui nilai sejarah yang cukup berharga di Bukit Bunuh.
Pada majlis yang sama, Ketua Pengarah JMG, Datuk Shahar Effendi Abdullah Azizi berkata, kerjasama bersama USM ini memperlihatkan sejumlah RM450,000 diperuntukkan buat USM untuk menjalankan penyelidikan terperinci di Lembah Lenggong seterusnya memastikan pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan tercapai pada tahun 2021.
“Pihak JMG sentiasa bertekad untuk membangunkan sumber-sumber geologi, sama ada dalam pentuk sumber kepelbagaian geologi seperti landskap dan meteorologi batuan, proses-proses geologi ataupun fosil yang terdapat di negara ini untuk kita pasarkan sebagai aset sumber pelancongan semulajadi negara ke arah aspirasi wilayah pembangunan geopark bertaraf kebangsaan dan global pada masa akan datang,” katanya.
Tambahnya, melalui kerjasama tenaga pakar dari USM ini, ia akan menarik lebih ramai pelancong dari luar negara ke Lenggong seterusnya menyediakan peluang kepada komuniti setempat menerokai peluang ekonomi sebagai pengusaha hasilan produk-produk Geopark dan aktiviti Geopelancongan.
Yang turut hadir adalah Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Tuan Ali Biju; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato’ Nolee Ashilin Dato’ Mohammed Radzi; Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau dan Jawatankuasa Komuniti Multimedia, Ahmad Saidi Mohamad Daud; Ahli Dewan Undangan Negeri Perak untuk Kenering, Dato’ Hj. Mohd Tarmizi Hj. Idris; Pelaksana Geopark Kebangsaan/Naib Presiden UNESCO Global Geopark, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo; Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM, Profesor Dato’ Dr. Mohd Mokhtar Saidin dan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral USM, Profesor Madya Ir. Dr. Syed Fuad Saiyid Hashim.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md. Isa
- Created on .
- Hits: 1173