USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEDIAMAN DINAIK TARAF, PELAJAR BERPELUANG RASAI PENGALAMAN KEHIDUPAN DAN PEMBELAJARAN HEBAT DI USM

bilik4

PULAU PINANG, 6 Sept 2020 – Selesa, kemas dan kediaman bertaraf tinggi!! Itu antara ungkapan keterujaan yang terlintas di fikiran sesiapa yang pertama kali melihat kediaman Desasiswa terbaharu yang dinaiktaraf oleh Universiti Sains Malaysia (USM), yang bertujuan memberi keselesaan kepada pelajar supaya mereka dapat merasai pengalaman kehidupan dan pembelajaran yang hebat di USM.

Keselesaan dengan rekaletak bilik yang cukup menenangkan ditambah dengan perabot-perabot baharu serba moden memberi kelegaan buat ibu bapa jika ingin melepaskan anak-anak mereka untuk mendiami dan mengikuti pengajian di USM.

Ketika ditemui di majlis ‘Breakfast Together at BHEPAUSM’, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah berkata, cetusan idea ini oleh BHEPAUSM berhasrat memberi ruang dan peluang kepada pelajar itu sendiri untuk memilih bilik berdasarkan kemampuan dan keselesaan mendiami di Desasiswa-Desasiswa yang dinaiktaraf ini.

bilik10

“Dahulu bilik-bilik yang disediakan adalah semua sama dari segi rekaletak, perabot dan suasana di dalam bilik, namun dengan perkembangan semasa dan mengambil kira kemampuan ekonomi keluarga pelajar, saya lebih cenderung untuk memberi peluang kepada pelajar memilih mengikut kesukaan dan keselesaan mereka,” katanya.

Ditambah lagi dengan pelajar-pelajar antarabangsa yang mengikuti pengajian di USM sama ada program pertukaran pelajar mahupun pelajar ijazah tinggi, sememangnya mereka ini mahukan kemudahan yang disediakan kepada mereka itu bertaraf tinggi dan menepati piawaian antarabangsa.

harapan39

Katanya, atas sebab itu pihak BHEPA USM mengambil inisiatif untuk menaik taraf bilik-bilik di Desasiswa-desasiswa secara terancang supaya USM menjadi tarikan pelajar terutamanya pelajar baharu tempatan dan luar negara yang bakal mengikuti pengajian di USM.

Aldrin turut menyatakan bahawa penaiktarafan bilik ini sebenarnya mampu memberikan pulangan ekonomi kepada USM dalam aspek penjanaan kewangan bagi membantu pelajar-pelajar yang susah dan memerlukan bagi meneruskan pengajian di USM.

bilik96

“Dengan adanya pulangan tersebut, USM boleh menggunakan hasil keuntungan itu untuk menambah baik bilik-bilik yang lain di Desasiswa supaya pelajar-pelajar kategori B40 tidak perlu membayar yuran penginapan yang tinggi, tetapi tetap mendapat perkhidmatan yang terbaik dari USM,” jelas Aldrin lagi.

Tambah beliau lagi, kini telah siap 9 unit bilik contoh pelbagai saiz di Desasiswa Fajar Harapan iaitu bilik seorang, bilik berdua, ‘Sweet Room’ yang mempunyai ruang tamu dan dapur serta unit pelbagai bilik.

“Ini merupakan peringkat pertama dan kita sedang berusaha menambahbaik 80 buah bilik lagi daripada 132 bilik di Desasiswa ini menjadi bilik bertaraf tinggi untuk pelajar, yang dijangka siap menjelang hujung bulan November ini,” kata Aldrin.

Jelas beliau lagi, bilik bertaraf tinggi ini sebenarnya hanya sebilangan kecil, kerana terdapat lebih kurang 6,000 bilik sedang menanti untuk dinaiktaraf dalam masa terdekat ini.

Bercakap mengenai cetusan idea oleh beliau bagi meneruskan usaha menaiktaraf ini, Aldrin berkata rekaan untuk menghasilkan rekaletak bagi setiap bilik ini hanya mengambil masa dua minggu dan terjemahan konsep ini kepada bilik contoh pula mengambil masa tiga bulan.

mpp34

“Ini merupakan berita baik buat pelajar-pelajar USM kerana setiap pelajar selepas ini akan diberi pilihan untuk menginap di Desasiswa sedia ada atau boleh memilih untuk menginap di bilik-bilik yang dinaiktaraf mengikut kemampuan pelajar itu sendiri,” jelas Aldrin.

“Jelasnya lagi buat masa sekarang di fasa pertama, pelajar sedia ada yang telah menduduki Desasiswa tidak boleh memilih bilik-bilik dinaiktaraf ini. Ia akan dibuka kepada pelajar baharu yang bakal memasuki USM manakala fasa seterusnya akan dibuka kepada pelajar-pelajar sedia ada,” tambah beliau lagi.

mpp36

“Harapan USM adalah untuk memberi pelajar pengalaman pembelajaran dan kehidupan yang hebat di USM. Justeru pihak pengurusan tertinggi USM sedaya upaya memastikan perkhidmatan yang diberikan sememangnya bertaraf tinggi dan memuaskan hati semua pihak,” katanya di akhir sesi temubual.

mpp37

Pada masa yang sama, beliau turut berkongsi mengenai bilik khas Majlis Perwakilan Pelajar USM (MPPUSM) yang dinaiktaraf bagi kegunaan dan keselesaan ahli MPPUSM ketika berkumpul untuk berdiskusi atau menjalankan aktiviti riadah dan santai di bilik tersebut.

“Saya pasti pelajar-pelajar dari ahli MPPUSM sangat gembira dengan penaiktarafan yang dilakukan pada bilik mereka itu yang kini kelihatan berwajah baru dan lebih kontemporari,” kata Aldrin lagi.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 3573

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024